PNM peruntuk RM1.2 juta untuk naik taraf 506 perpustakaan desa dengan kemudahan ICT, internet laju dan komputer mulai tahun depan.
REMBAU: Perpustakaan desa di seluruh negara akan dilengkapi sistem digital bermula tahun 2026 selaras usaha menaik taraf perkhidmatan.
Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) Edy Irwan Zulkafli berkata sebanyak 506 perpustakaan akan dinaik taraf dengan fokus kepada kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Kemudahan itu termasuk capaian internet, perkhidmatan WiFi berkelajuan tinggi serta kemudahan komputer.
“Pada tahun hadapan, kami mahu memastikan terdapat peningkatan dari segi infrastruktur memandangkan kebanyakan perpustakaan desa ketika ini masih tertumpu kepada perkhidmatan tradisional,” katanya.
Beliau berkata PNM telah memohon peruntukan RM1.2 juta daripada kerajaan Persekutuan untuk naik taraf perpustakaan desa bagi 2026.
Edy Irwan berkata penambahbaikan itu membolehkan masyarakat luar bandar mengakses maklumat dan ilmu secara lebih meluas.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penyerahan Projek Sekolah Angkat MADANI 2025 di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Yuk Hua di sini.
Mengulas program Sekolah Angkat MADANI, beliau berkata ia berperanan sebagai pemangkin pembentukan sahsiah murid.
Pemilihan SJK (C) Yuk Hua sebagai Sekolah Angkat MADANI 2025 memberi peluang kepadanya menabur bakti di daerah kelahiran sendiri.
Peruntukan RM100,000 disalurkan menerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu telah dimanfaatkan bagi pelbagai inisiatif.
Antara skop projek adalah pembaikan infrastruktur seperti perolehan penyaman udara untuk pusat sumber sekolah.
Pemasangan Papan Pintar serta pelaksanaan sistem automasi perpustakaan juga dilaksanakan.
Dana itu turut digunakan bagi menaik taraf bilik guru, makmal sains, kafe dan bilik darjah.
Program bimbingan akademik serta pembangunan pelajar seperti Smart Kids ICT Explorer turut dijalankan.
Edy Irwan berharap inisiatif itu memberi keselesaan kepada para pelajar untuk tumpuan pembelajaran. – Bernama






