Malaysia Oversight

Pemulihan kalender akademik 2026 tidak jejas operasi sekolah 

By Utusan in December 16, 2025 – Reading time 2 minute


PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengembalikan kitaran kalender akademik persekolahan kepada Januari hingga Disember bermula sesi 2026 tanpa menjejaskan pengoperasian institusi pendidikan di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, langkah itu merupakan pelaksanaan komitmen yang diumumkan pada Mei 2023 untuk memulihkan kitaran akademik sekolah seperti sebelum pandemik COVID-19.

Katanya, usaha itu dilaksanakan secara terancang dan berfasa sejak sesi 2023/2024 dengan memastikan bilangan hari persekolahan minimum 190 hari seperti yang ditetapkan dalam akta pendidikan dan peraturan pendidikan adalah dipatuhi.

“Kalendar akademik 2026 akan bermula pada 11 Januari 2026 hingga 31 Disember 2026 bagi sekolah di negeri Kumpulan A iaitu Kedah, dan Terengganu.

“Manakala sesi persekolahan baharu bagi sekolah di negeri Kumpulan B iaitu Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, , Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan akan bermula pada 12 Januari hingga 31 Disember 2026,” katanya di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Michael Mujah Lihan berhubung jaminan KPM bahawa pengembalian kalender akademik sesi 2026 bagi sekolah kebangsaan dan sekolah bantuan kepada Januari 2026 tidak akan mengganggu pengoperasian institusi pendidikan.

Kah Woh berkata, penyusunan semula kalendar akademik turut melibatkan pelarasan jadual pengajaran dan pembelajaran, peperiksaan utama seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) serta penyesuaian cuti penggal bagi memastikan operasi sekolah berjalan lancar.

Katanya, keputusan pemulihan kalendar akademik itu diyakini memberi manfaat optimum kepada murid, guru dan keseluruhan ekosistem pendidikan.

“KPM juga telah mengadakan sesi libat urus menyeluruh bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), pentadbir sekolah serta pihak berkepentingan termasuk Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Sarawak Teachers Union dan Kesatuan Guru Sabah untuk mendapatkan pandangan dan maklum balas.

“KPM kekal terbuka menerima maklum balas daripada semua pihak berkepentingan bagi memastikan pelaksanaan ini tidak akan menimbulkan sebarang gangguan. 

“Dengan perancangan teliti, konsultasi berterusan dan semangat kerjasama, KPM yakin pemulihan takwim ini bukan sahaja berjalan lancar, tetapi menjadi satu titik penting dalam usaha memperkukuh sistem pendidikan negara,” katanya. – UTUSAN





Source link