UK Meminta Apple dan Google Menghalang Paparan Imej Lucah Pada Peranti Kanak-Kanak
Effi Saharudin
Kerajaan United Kingdom meminta Apple dan Google meletakkan sistem menghalang paparan imej lucah daripada dilihat individu bawah umur di peringkat sistem operasi (OS). Kementerian Dalam Negeri UK ingi OS yang menghalang imej lucah dipaparkan melainkan pengguna mengesahkan bahawa mereka adalah individu dewasa melalui sistem pengesahan biometrik atau kad pengenalan rasmi. Pada peranti pesalah seksual ke atas kanak-kanak, sekatan ini akan diaktifkan sepanjang masa walaupun mereka dewasa.

Pada peringkat permulaan sistem halangan ini perlu disokong pada peranti mudah alih sebelum dikembangkan pula pada peranti desktop. Tahun ini UK sudahpun mewajibkan pengesahan umur dilakukan individu sebelum laman dewasa boleh diakses. Akibatnya penggunaan VPN meningkat di UK dengan trafik ke laman dewasa tertentu menjunam sehingga 77% selepas sistem pengesahan umur ini dikuatkuasakan.
Walaupun Apple dan Google tidak mempunyai penapis kandungan lucah di peringkat OS, sistem keselamatan pada aplikasi pemesejan telah mana diaktifkan. Apple dengan “Communication Safety” dan Google pula menerusi tetapan dalam aplikasi Family Link. Kedua-dua sistem ini sekadar mengaburkan imej lucah yang diterima menerusi Messages, AirDrop, dan FaceTime.





