ULASAN | Pada Oktober 1937, ketika dunia sedang dibayangi ketakutan terhadap fasisme dan komunisme, sekumpulan cendekiawan, pemimpin pendapat, pendidik dan wartawan di Amerika Syarikat (AS) mengambil keputusan menubuhkan sebuah organisasi yang agak luar biasa.
Mereka tidak mahu membina kilang atau melawan perang dengan senjata, sebaliknya bertekad melawan propaganda dengan akal rasional.
Asas penubuhan organisasi itu mudah iaitu mereka bimbang peningkatan penyebaran propaganda telah mengurangkan keupayaan masyarakat untuk berfikir secara kritikal.
Dekad itu menyaksikan bagaimana propaganda digunakan secara agresif oleh rejim Nazi, Fasis dan Komunis untuk menunjukkan rakyat dan menghapuskan pemikiran bebas.
AS sendiri turut memperlihatkan gejala manipulasi maklumat melalui media massa, radio, surat khabar dan filem bertujuan membentuk persepsi awam sama ada bagi tujuan komersial, politik atau ideologi.
Penubuhan Institute for Propaganda Analysis (IPA) merupakan satu detik penting dalam sejarah propaganda moden.
Berpusat di New York, IPA muncul dalam konteks global yang ketika itu sarat dengan ketegangan ideologi dan kemunculan rejim totalitarian.
Ejen pendidikan awam
Pada masa itu, propaganda telah menjadi instrumen utama yang bukan sekadar untuk menyampaikan maklumat malah membentuk pemikiran rakyat secara sistematik.
Institusi ini tercetus hasil pertemuan yang dipengerusikan oleh Edward A. Filene, seorang ahli perniagaan dan dermawan, bersama-sama ahli sosiologi seperti Clyde R. Miller pada Februari dan Mac 1937.
Filene telah memperuntukkan dana permulaan sebanyak AS$10,000 dan dana lain sebagai pembiayaan untuk tempoh tiga tahun. Ia bertujuan menyelamatkan demokrasi di Amerika daripada diganggu oleh propaganda musuh negara itu.
Institut ini telah diperbadankan secara rasmi pada 23 September 1937. Lembaga pengarah awalnya terdiri daripada Clyde R.Miller, Robert S. Lynd, E. Ernest Johnson, James E. Mendenhall dan Robert K. Speer. Mereka aktif dalam membentuk wacana intelektual dan pendapat umum.
Pengaruh intelektual Harold D. Lasswell dari Universiti Chicago telah turut membentuk kerangka teori IPA. Buku rujukan propagandanya yang popular ialah PropagandaTechnique in the World War 1 (1927) merumuskan propaganda adalah sistematik dan mengawal pendapat awam dengan simbol signifikan seperti cerita, khabar angin dan laporan agensi.
Dalam konteks ini, IPA mengambil posisi sebagai ‘ejen pendidikan awam’. Matlamat penubuhan IPA adalah untuk mendidik rakyat Amerika supaya mempunyai literasi politik dengan dapat mengenal pasti dan menganalisis teknik propaganda, terutamanya dalam konteks kebangkitan totalitarianisme di Eropah dan potensi manipulasi dalam media domestik.
IPA menamakan misi ini sebagai “mengajar rakyat bagaimana berfikir, bukan apa yang perlu difikirkan”. Dalam erti kata lain, matlamatnya adalah memperkasa masyarakat dengan alat untuk membezakan antara fakta sahih dan naratif manipulatif.

Pendidikan propaganda sebagai literasi awam
Sumbangan terbesar IPA terletak pada pembangunan alat analisis propaganda yang dikenali sebagai “Seven Propaganda Devices”.
Mereka menerbitkan bahan pendidikan yang menjelaskan tujuh teknik propaganda secara ringkas, praktikal dan efektif yang masih digunakan sehingga hari ini.
-
Tujuh teknik tersebut ialah:
-
Name calling – Penggunaan label negatif terhadap musuh.
-
Glittering generalities – Kata-kata positif yang kabur dan tidak spesifik.
-
Transfer – Pemindahan makna simbol kepada sesuatu idea.
-
Testimonial – Sokongan daripada tokoh terkenal.
-
Plain folks – Memaparkan individu sebagai sebahagian daripada ‘orang biasa’.
-
Card stacking – Menyusun fakta secara berat sebelah.
-
Bandwagon – Dorongan untuk mengikuti ‘trend’ majoriti.
Teknik ini menjadi asas kepada kurikulum pendidikan komunikasi dan masih diajar dalam program propaganda hingga ke hari ini. Fokus mereka bukan sekadar membongkar naratif propaganda politik malah membentuk budaya intelektual yang lebih berhati-hati dan analitis.
Mereka juga memperkenalkan latihan literasi media ke sekolah-sekolah termasuk kurikulum penglibatan sivik yang dirintis di Springfield, Massachusetts dikenali sebagai “The Springfield Plan” yang masih digunakan hingga ke hari ini.
Salah satu teknik yang digunakan adalah dengan melabel bahagian tertentu dalam ucapan menggunakan ikon yang mewakili salah satu daripada tujuh teknik propaganda, bagi membantu pendengar memahami bagaimana propaganda itu berfungsi.
Pada Oktober 1937, IPA telah mengedarkan 3,000 salinan edisi pengumuman buletin Propaganda Analysis bagi mendapatkan langganan. Dalam tempoh dua minggu pertama, sebanyak 750 langganan diterima dan jumlahnya meningkat kepada 2,500 langganan padatahun pertama.
Selain itu, IPA turut menerbitkan buku karya terkenal dan berpengaruh seperti The Fine Art of Propaganda (1939) yang ditulis oleh Alfred & Elizabeth Lee. Buku ini mengandungi kritikan ceramah radio Pastor Father Coughlin. Ceramah tersebut dirumuskan sebagai serangan propaganda sempurna kerana menyemai kebencian, simbol agama, ketakutan dan kekeliruan.
Lebih daripada itu, IPA telah memperkenalkan empat prinsip analitik dalam “ABCs of Propaganda Analysis”. Teknik ini mendorong pembaca untuk memahami dan menganalisis pandangan mereka sendiri terhadap bahan propaganda bagi menggalakkan perbincangan yang berinformasi dan mencetuskan pemikiran kritikal.
Prinsip-prinsip ini merangkumi:
-
Kenal pasti unsur konflik dalam bahan propaganda;
-
Perhatikan reaksi peribadi terhadap mesej yang disampaikan;
-
Keraguan terhadap pendapat anda itu benar-benar datang dari sendiri dan bukan hasil pengaruh luar;
-
Perlu semak fakta sebelum membuat kesimpulan.
Kenapa cuma lima tahun?
Ironinya, walaupun berperanan membina demokrasi melalui pendidikan kritikal, IPA hanya mampu bertahan selama lima tahun apabila ia ditutup secara rasmi pada Januari 1942.
Penyebab utamanya adalah perubahan dramatik dalam suasana politik AS selepas terbabit dalam Perang Dunia Kedua.
Ini berlaku apabila persepsi terhadap propaganda sudah berubah sepenuhnya. Selepas serangan Pearl Harbor pada Disember 1941 oleh tentera Jepun, Amerika pun bertindak balas.

Kerajaan menggunakan propaganda untuk memobilisasi rakyat dan menyemarakkan semangat nasionalisme. Propaganda yang dahulunya dianggap manipulatif kini dilihat sebagai alat patriotisme yang sah.
Ketika itu, propaganda bukan lagi dilihat sebagai musuh. Ia menjadi alat rasmi kerajaan untuk menyatukan rakyat dan menyemarakkan semangat patriotik. Ini merupakan sisi lain propaganda sebagai alat penyatuan negara. Dalam suasana ini, sikap kritikal dan skeptikal terhadap propaganda dilihat sebagai “mengganggu perpaduan nasional.” IPA menjadi mangsa perubahan nilai baru propaganda.
Mereka yang dahulu dianggap pelindung demokrasi, kini dilihat seperti ancaman kepada moral negara. Lebih-lebih lagi dalam suasana perang, kritikan terhadap propaganda bukan lagi dialu-alukan. Mereka bukan hanya perlu menganalisis propaganda musuh-musuh AS tetapi juga AS sendiri.
Naratif yang terbaik ketika perang adalah meniup semangat dan roh penyatuan. Kajian dan pendedahan terhadap propaganda kerajaan sendiri (walaupun bersifat objektif dan akademik) dianggap melemahkan moral rakyat.
Lebih membimbangkan lagi analisis propaganda IPA disalahgunakan oleh pihak yang menentang kerajaan.
IPA gagal memainkan peranan menganalisis secara tidak berpihak. Ini antara sebab mengapa IPA semakin tidak mendapat tempat dan diterima secara sosial dan politik.
Tambahan pula, sokongan kewangan semakin menyusut ekoran penurunan langganan buletin yang menurun dan kebergantungan pembiayaan operasi daripada Filene dan orang perseorangan lain semata-mata. IPA tidak lagi dapat berfungsi tanpa dana dan tanpa legitimasi sosial.
Maka, sejarah organisasi ini berakhir, biar pun bukan kerana gagal mencapai matlamat tetapi kerana persekitaran yang tidak menyokongnya.
Jasa IPA
Kematian IPA bukan bermaksud matinya semangat pendidikan kritikal terhadap propaganda. Sebaliknya, ia meninggalkan warisan intelektual yang terus berkembang. IPA telah memulakan tradisi formal literasi sebagai perintis dalam pendidikan aliterasi media dan pemikiran kritikal berkaitan mesej massa.
Dalam era komunikasi digital hari ini yang dibanjiri oleh maklumat palsu, manipulasi algoritma dan propaganda digital, pendekatan IPA menjadi semakin relevan.
Mereka telah mempopularkan pendekatan analitis dan menjadikan propaganda sebagai subjek yang sah untuk dianalisis secara ilmiah dan praktikal. Konsep seperti “fake news”,“disinformation” dan “media literacy” yang menjadi kata kunci hari ini sebenarnya adalah rangka kerja yang menjadi rujukan utama dalam kerja-kerja awal IPA.
Gerakan untuk mengajar pemikiran kritikal di sekolah, kesedaran terhadap kesan psikologi media dan perlunya menyemak fakta propaganda. Semua ini merupakan warisan langsung daripada visi IPA.
IPA merupakan satu eksperimen sosial dan pendidikan yang berani. Ia menunjukkan bahawa usaha membentuk masyarakat demokratik tidak cukup dengan membenarkan kebebasan bersuara semata-mata.
Ia memerlukan rakyat yang celik, waspada dan mampu mengenal manipulasi apabila ia berlaku dan tidak kira datangnya dari luar atau dari dalam negara sendiri.
Dalam konteks Malaysia dan dunia hari ini, pelajaran daripada IPA amat berguna. Kita sedang berhadapan dengan pelbagai bentuk propaganda dari sudut politik, agama dan komersial yang semuanya bersaing merebut perhatian dan kepercayaan rakyat.
Apa yang ditunjukkan oleh IPA ialah tanpa pendidikan yang mendalam tentang cara propaganda berfungsi, demokrasi boleh berubah menjadi teater retorik yang memperdaya.
IPA sudah lama terkubur tetapi rohnya tetap hidup. Ia mengingatkan kita bahawa demokrasi bukan hanya tentang undi dan suara. Malah ia juga tentang keupayaan dalam menilai siapa yang sedang cuba mempengaruhi kita dan bagaimana ia dilakukan.
BUDIMAN MOHD ZOHDI ialah penasihat SLR Institute. Bergiat aktif dalam penyelidikan propaganda dan penjenamaan politik. Penulis merupakan bekas ahli parlimen Sungai Besar.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.