Bukit Aman akan meneruskan siasatan tatatertib terhadap seorang anggota polis yang dirakam mengajak seorang wanita untuk mendaftar masuk ke bilik hotel bersamanya.
Ia di sebalik cubaan oleh selebriti, Caprice untuk menjadi orang tengah bagi menyelesaikan perkara itu antara kedua-dua individu terlibat. Dia sebelum ini mengundang mereka untuk berbincang.
Dalam satu video pendek yang dimuat naik Caprice ke Facebook semalam, kes tersebut didakwa telah “diselesaikan” selepas anggota terbabit memohon maaf kepada wanita berkenaan dan keluarganya.
Namun, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (Jips) Bukit Aman Azri Ahmad menegaskan bahawa kes itu masih belum ditutup.
“Siasatan dari sudut tatatertib akan diteruskan,” katanya menerusi pesanan teks.
Terdahulu, polis memulakan siasatan jenayah dan tatatertib terhadap anggota terbabit selepas satu video tular di media sosial, di mana dia didakwa membuat gangguan seksual terhadap seorang wanita.

Berdasarkan dua klip video yang dimuat naik di akaun TikTok mangsa, kejadian itu didakwa berlaku berhampiran Balai Polis Pandan Perdana pada awal pagi Sabtu lalu.
Pegawai polis berkenaan, yang ketika itu berpakaian seragam, kedengaran mengajak mangsa untuk “lepak” di rumahnya di Keramat sebelum mencadangkan mereka untuk ke hotel.
Dalam klip seterusnya, dia turut didengar memujuk wanita itu untuk mengikutnya ke satu lokasi berdekatan yang hanya mengambil masa “10 minit”.
Namun, mangsa menolak pelawaan itu dan memberitahu yang mereka boleh berjumpa kemudian.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Azam Ismail sebelum ini memaklumkan siasatan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan kehormatan seseorang, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia berkaitan penggunaan kemudahan rangkaian secara tidak wajar.
Malaysiakini sedang mendapatkan maklum balas lanjut daripada Azam dan Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan mengenai status siasatan.
‘Antara dia dan PDRM’
Sementara itu, mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Sha mengesahkan anggota itu telah memohon maaf kepadanya.
Namun, katanya, dia tidak boleh berbuat apa-apa berkenaan siasatan polis ke atas lelaki tersebut.
“Saya tak boleh tarik balik kes kerana laporan dibuat oleh ketua balai polis Pandan Indah.
“Permohonan maaf hanya atas kapasiti peribadi. Tindakan disiplin antara dia dan PDRM,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.