Samsung Dilaporkan Akan Menghentikan Pengeluaran Storan SSD SATA
Nazrin
Dua minggu selepas Micron mengumumkan bahawa mereka akan menghentikan pengeluaran komponen memori pengguna dengan penutupan Crucial, kini ia sedang dilaporkan bahawa Samsung akan menghentikan pengeluaran storan SSD SATA untuk pengguna.
Perkara ini dikatakan oleh Moore’s Law is Dead yang dilihat seringkali meniriskan maklumat dengan kadar yang cukup tepat sekali, dimana mereka mengatakan bahawa Samsung kelak akan menghentikan pengeluaran storan SSD SATA secara sepenuhnya.
Storan SSD SATA kini tidak sepopular sebelum ini di kalangan pembina komputer, dimana kebanyakan daripada mereka sudahpun mula menggunakan storan SSD M.2 sebagai pilihan utama, tetapi storan SATA masih lagi digunakan secara meluas untuk syarikat-syarikat pembina komputer siap-pasang, khususnya yang digunakan oleh syarikat-syarikat kecil, serdehana dan juga korporat.

Jika ia adalah benar bahawa Samsung akan menghentikan pengeluaran storan SSD SATA, ia bermakna bahawa harga komponen tersebut juga akan semakin meningkat, dan mungkin menjadikan harga komputer dengan harga lebih “mampu milik” juga menjadi semakin mahal.
Walaupun Samsung belum mengeluarkan kenyataan rasmi buat masa ini, Moore’s Law is Dead mengatakan bahawa sejumlah syarikat pembekal komponen mengatakan bahawa perkara tersebut sudahpun diketahui sebelum ini, dan bukanlah satu keputusan yang baru.






