Peranti 4GB RAM Akan Muncul Kembali Tahun Depan Kerana Impak AI
Effi Saharudin
Pengguna iPhone dahulunya berbangga peranti mereka hanya memerlukan 4GB RAM untuk berfungsi dengan lancar sedangkan peranti Android memerlukan sehingga 8GB RAM. Dengan permintaan untuk cip NAND naik mendadak disebabkan keperluan pusat data kecerdasan buatan (AI), harga RAM sudah meningkat sehingga 40% tahun ini dengan kekurangan bekalan dijangka berterusan sehingga 2027.

Trendforce kini meramalkan disebabkan kos meningkat serta kurangnya bekalan, peranti Android dengan 4GB RAM akan muncul kembali di pasaran tahun 2026. Ini akan mendatangkan impak paling besar pada peranti kelas permulaan yang pada ketika ini dilengkapi antara 6-8 GB RAM. Pengguna perlu membayar harga lebih premium jika ingin memiliki peranti dengan 8GB RAM. Malang sekali pada peranti mampu milik, ciri memori maya tidak disokong kerana masih menggunakan storan jenis eMMC.
Permintaan tinggi untuk cip AI menyebabkan Xiaomi, dan Samsung mengesahkan peranti mereka akan dinaikkan harga tahun depan. Lenovo pula telah melakukan pembelian memori dan storan secara pukal bagi mengurangkan impak harga sehingga penghujung 2026. Malahan wujud ura-ura tahun depan slot microSD juga akan kembali ke telefon pintar kerana kekurangan cip storan.
AI yang dikatakan memberikan impak positif kepada produktiviti kini menyebabkan harga perkakasan naik disamping menyumbang kepada pelepasan karbon, pencemaran bunyi, penggunaan air melampau dan kos tenaga yang sama seperti ratusan ribu rumah persendirian.






