Barisan panjang tetamu beratur untuk menyapa Dr Mahathir Mohamad pada sambutan Hari Kebangsaan Rusia di Kuala Lumpur malam ini, dengan ramai yang mengambil peluang untuk bergambar dan menyampaikan ucap selamat menjelang ulang tahun kelahirannya yang ke-100 bulan depan.
Bekas perdana menteri itu dan isterinya, Dr Siti Hasmah Ali, merupakan antara tetamu kehormat yang diundang oleh Duta Besar Rusia ke Malaysia, NM Latypov, yang menjadi tuan rumah untuk acara tersebut.
Ketika ditanya mengapa orang ramai masih memenuhi acara untuk bertemu dengannya, Mahathir secara berseloroh berkata dia masih popular walaupun tidak lagi memimpin kerajaan.
“Terima kasihlah, selalu ada orang nak ambil gambar (dengannya).
“Saya bukan perdana menteri lagi, tapi depa nak ambil gambar juga,” selorohnya kepada Malaysiakini di sela-sela persembahan tarian kebudayaan Rusia di pentas.
Dalam ucapan alu-aluannya, Latypov memuji Malaysia sebagai rakan “yang lama, boleh dipercayai, dan dihargai” bagi Rusia, sama ada di Asia Tenggara mahupun di peringkat antarabangsa.
“Kerjasama kita berasaskan sikap saling menghormati dan manfaat bersama. Kita sentiasa berusaha untuk memahami perspektif satu sama lain dan bertindak sebagai rakan sejati.
“Pertukaran pandangan antara pemimpin kita dalam hal ehwal serantau dan antarabangsa telah menunjukkan bahawa pendirian Rusia dan Malaysia amat selari,” katanya.

Katanya lagi, Rusia dan Malaysia tegas dalam mempertahankan kedaulatan dan prinsip undang-undang antarabangsa dan dasar tidak campur tangan dalam urusan dalaman masing-masing.
“Kita juga bekerjasama dengan berkesan di platform pelbagai hala, termasuk PBB,” kata Latypov lagi.
Dia berkata hubungan dua hala Malaysia dan Rusia telah memperoleh momentum baru susulan dua lawatan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ke Rusia baru-baru ini dan perbincangannya dengan Presiden Vladimir Putin.
“Kerjasama kita merangkumi pelbagai bidang – daripada perdagangan, pelaburan dan tenaga, sehinggalah pelancongan, pendidikan serta pertukaran budaya dan kemanusiaan.
“Saya berharap momentum ini akan terus meningkat, sekali gus membawa lebih banyak manfaat kepada negara kita,” katanya lagi.
Antara yang hadir ialah Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Shamsul Iskandar Md Akin; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu; dan Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Abdul Ghani.
Pada 2019, Mahathir menolak penglibatan Rusia dalam insiden pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh, meskipun Pasukan Penyiasat Bersama (JIT) yang diketuai Belanda mendapati perkaitan Moscow dengan tragedi tersebut.
Anwar turut menyuarakan pendirian yang serupa semasa lawatannya ke Moscow bulan lalu, sambil menambah bahawa Rusia menyeru agar siasatan terhadap insiden MH17 dilakukan secara menyeluruh, telus dan bebas daripada unsur politik.