Sam Altman Turut Berhasrat Mempunyai Syarikat Roket Tersendiri
Aman
Beberapa bilionwan pada hari ini mempunyai syarikat roket tersendiri dengan fokus terhadap eksplorasi angkasa, termasuk Jeff Bezos dengan Blue Origin, sementara Elon Musk melalui Space X. Terbaru, Sam Altman yang mula popular sebagai teraju utama OpenAI, kini dilihat turut ingin memiliki syarikat roket tersendiri.
Menurut laporan WSJ, Sam Altman telah mempertimbangkan untuk melabur atau mengambil-alih syarikat roket Stoke Space. Setakat ini, tiada sebarang transaksi yang berlaku antara kedua-dua pihak.

Salah satu sebab Sam Altman dikatakan berminat untuk mendapatkan syarikat roket, adalah dalam usaha untuk membangunkan pusat data di angkasa. Beberapa syarikat telah mula melihat kepada pembangunan pusat data di angkasa, dalam usaha untuk terus mendapatkan tenaga untuk menguasakannya, dan pada masa yang sama mempunyai sokongan untuk menyejukkannya. Pembangunan kecerdasan buatan dilihat memerlukan kuantiti tenaga yang tinggi, termasuk menggunakan air yang banyak untuk menyejukkan. Ini sekaligus membuatkan pembangunan pusat data di angkasa salah satu kaedah dalam mengatasi perkara berkenaan.
Buat masa ini, ia tidak diketahui sama ada Sam Altman masih meneruskan perbincangan, atau telah turut mendekati syarikat penerbangan lain dengan hasrat sama.






