Tahun 2025 adalah tahun EV di Malaysia dengan dua lagi EV buatan tempatan dilancarkan iaitu e.MAS 5 dan QV-E pada harga lebih mampu milik. Disamping itu, pengenalan subsidi petrol bersasar BUDI95 juga diperkenalkan. Apa lagi yang menarik perhatian? Ini senarai 10 berita automotif paling menarik 2025.

1. Proton e.MAS5 Dilancarkan – Kereta Elektrik Kedua Proton

Proton e.MAS 5 dilancarkan pada bulan Oktober sebagai EV kedua keluaran syarikat tempatan dengan dua versi iaitu Prime dan Premium dan jarak perjalanan sehingga 325 KM WLTP. Proton e.MAS 5 dijual pada harga RM 59,800 untuk versi Prime, manakala RM 72,800 untuk versi premium.
Ia hadir dengan jaminan selama 6 tahun tanpa sebarang had perbatuan, dan jaminan bateri serta komponennya selama 8 tahun atau 160,000 km jarak perbatuan, tertakluk kepada mana satu dahulu. Dengan penawaran e.MAS 5, industri EV tempatan semakin menarik selepas e.MAS 7 dilancarkan penghujung tahun lalu. Selepas sekian lama menantikan EV pada harga lebih “rahmah”. e.MAS 5 muncul bagi mereka yang tidak ingin berbelanja lebih untuk menggunakan kenderaan sifar pelepasan karbon.
2. Perodua QV-E Dilancarkan Pada Harga RM 80,000 – Bateri Disewa Berasingan

Perodua QV-E dilancarkan awal bulan ini pada harga RM 80,000 dengan bateri dijual secara berasingan. Ini merealisasikan janji Perodua menawarkan EV tempatan pada harga bawah RM100,000 untuk bersaing dengan Proton e.MAS 5 yang mula dijual pada bulan Oktober.
Perodua QV-E mempunyai bateri sebesar 52 kWh yang boleh memberikan jarak perjalanan sejauh 440km NEDC. Dengan motor elektrik pacuan hadapan yang memberikan kuasa maksimum 150 kW dan 285Nm tork, ia juga mempunyai had laju maksimum 165km/j.
Walaupun harga jualannya menarik, EV pertama rekaan tempatan sepenuhnya ini dilanda kontroversi kerana pelbagai terma dan syarat dikenakan ke atas sewaan bateri. Antaranya ialah tidak boleh menggunakan QV-E sebagai kenderaan seru-pandu atau komersial. Kegagalan membayar sewa bateri selama 2 bulan akan menyebabkan kenderaan dimatikan dari jarak jauh oleh Perodua.
3.Subsidi Budi Madani RON95 (BUDI95) Diperkenalkan Pada 30 September

Program subsidi bersasar petrol RON95, yang dinamakan Budi Madani RON95 (BUDI95) diperkenalkan pada 30 September 2025. Harga jualan petrol RON95 akan ditetapkan pada harga siling RM1.99 seliter untuk mereka yang layak menerima BUDI95 dan RM2.60 seliter bagi mereka yang tidak layak. Manakala harga petrol RON97 kekal pada harga pasaran semasa RM3.21 seliter. Ini juga adalah harga yang akan perlu dibayar oleh kenderaan-kenderaan luar negara yang masuk ke Malaysia dan mahu mengisi petrol.
Bagi rakyat biasan, kuota 300 liter petrol diberikan setiap bulan. Bagi pemandu perkhidmatan seri-pandu pula, kuota bulan 800 liter sebulan diberikan dengan syarat jarak minimum perjalanan sebanyak 5,000km sebulan. Sekiranya jumlah petrol yang diisi melebihi had tersebut, pemilik kenderaan perlu membayar harga pasaran semasa.
Rakyat Malaysia juga tidak perlu melakukan sebarang pendaftaran kerana proses pengesahan subsidi ini menggunakan MyKad sedia ada yang mana ia akan disahkan melalui terminal di stesen petrol dan juga di terminal pam minyak.
4. Rapid KL Akan Memulakan Perkhidmatan Bas Elektrik Bermula 2026

Rapid KL akan memulakan perkhidmatan bas elektrik bermula 2026. Ini diumumkan Menteri Pengangkutan Anthony Loke pada Julai dalam majlis penerimaan kumpulan akhir 310 bas diesel baharu Rapid KL. Bas elektrik yang digunakan adalah buatan sebuah syarikat China tetapi akan dipasang sepenuhnya di Johor. Ini adalah membolehkan pemindahan teknologi luar negara dilakukan dengan syarikat tempatan.
Bas-bas elektrik ini kemudiannya akan beroperasi di laluan dengan permintaan tinggi di. Lembah Klang dan Pulau Pinang. Tender membekalkan bas elektrik telahpun ditutup dengan pengumuman akan dilakukan kelak.
Rapid KL telah menggunakan bas elektrik sejak 2015 untuk perkhidmatan Bas Rapid Transit. (BRT) tetapi pada skala kecil. Kemudian pada tahun 2022, 4 buah bas elektrik buatan BYD telah diuji selama tiga bulan. Ia merangkumi Laluan 400; Damai Perdana ke Hab Lebuh Pudu dan Laluan 650 dari Taman Desa ke hab Pasar Seni.
5. Tesla Meluluskan Pakej Ganjaran $1 Trilion Untuk Elon Musk

Pemegang saham Tesla telah meluluskan pakej ganjaran bernilai $1 trilion (~RM 4.18 trilion) untuk CEO Elon Musk pada November. Kelulusan diberikan selepas menerima persetujuan 75% pemegang saham dalam undian yang dilakukan minggu ini.
Pampasan ini diberikan kepada Musk sebagai insentif untuk memastikan beliau kekal sebagai CEO Tesla selama 10 tahun lagi dengan beliau mencapai beberapa sasaran yang ditetapkan dalam tempoh tersebut. Lembaga pengarah Tesla mencadangkan pakej ganjaran ini pada bulan September lalu.
Pampasan $1 trilion ini adalah dalam bentuk 12% saham Tesla sekiranya beliau mencapai meningkatkan nilai pasaran syarikat ke $8.6 trilion dalam masa sedekad. Pada waktu ini nilai pasaran Tesla ialah sekitar $1.1 trilion. Jika Musk berjaya mencapai sasaran, beliau akan memegang hampir 29% saham syarikat.
Sasaran lain yang perlu dicapai Musk termasuklah;
- Mengeluarkan 1 juta teksi swapandu Cybercab bagi tujuan komersial.
- Mengeluarkan 1 juta robot Optimus juga untuk tujuan komersial.
- Meningkatkan keuntungan Tesla ke $400 bilion daripada $17 billion sekarang.
- Mencapai penghantaran 20 juta EV
Sepanjang tempoh 10 tahun ini, Musk tidak akan menerima sebarang gaji atau bonus tunai daripada syarikat. Tawaran pampasan yang cukup besar ini akan menjadikan Musk manusia pertama mencapai status trilionwan. Beliau pada waktu ini adalah manusia terkaya dunia dengan harta mencecah $491 bilion dengan pencabar terdekat beliau Larry Elisson “hanya” mempunyai $298 bilion.
6.JPJ Memperkenalkan Rekaan Baharu Lesen Memandu Malaysia

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia telah memperkenalkan rekaan baharu untuk Lesen Memandu Malaysia pada bulan Mei. Rekaan baharu ini selain daripada ilustrasi dan grafiknya, turut hadir bersama ciri keselamatan yang dipertingkatkan.
Rekaan baharu ini menggunakan gambar latar belakang Bangunan Sultan Abdul Samad, selain motif abstrak gelombang pada bahagian hadapan. Di belakang pula, ia menggunakan grafik Istana Negara bersama motif abstrak flora.
JPJ turut mengatakan ia mempunyai daya tahan penggunaan selama 10 tahun. Walau bagaimanapun, versi fizikal untuk lesen memandu ini hanya terhad kepada mereka yang akan ke luar negara, dan bukan warganegara sahaja. Sebaliknya, pengguna akan diberikan versi digital. Peralihan ke versi baharu juga dijangka akan dilakukan secara berperingkat mengikut cawangan JPJ seluruh negara.
7.Chevy Silverado EV Memecahkan Rekod Perjalanan EV Dengan 1704 km Sekali Caj

Dua isu utama penggunaan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia ialah harga yang terlalu mahal dan kedua jarak perjalanan yang masih terhad. Isu ini tidak dibantu oleh peningkatan stesen pengecas yang tidak berkadaran sama dengan jumlah EV di jalan raya. Ini bukan isu sekiranya anda memandu Chevy Silverado EV yang baru sahaja mencatatkan jarak perjalanan 1,704.6 km (1,059.2 batu) dengan sekali caj dengan penggunaan tenaga 7.88 km/kWh (4.9 batu/kWh).
Chevy Silverado EV memecahkan rekod dunia yang dipegang Lucid Air Grand Touring yang dipandu 1,205 km (749 batu) dengan sekali caj pada pertengahan Julai lalu. Bagi mencapai jarak 1,704.6 km ini, Chevy melakukan beberapa perubahan kepada kenderaan asal yang mempunyai jarak pemanduan 7893 km (493 batu).
Pertama sekali bilah pengelap cermin dikecilkan bagi mengurangkan rintangan udara. Tayar kemudiannya dipam ke tekanan paling tinggi dan tayar ganti tidak diletakkan. Penutup untuk bahagian kargo ditambah dan sepanjang perjalanan sistem kawalan hawa kabin dimatikan. Akhir sekali trak EV ini dipandu pada kelajuan maksimum 32-40 mk/j sahaja.
Walaupun sudah memecahkan rekod yang dicatatkan Lucid Air Grand Touring, Chevy tidak memohon untuk kejayaan mereka diiktiraf oleh Buku Rekod Guinness. Oleh itu jika selepas ini anda terbaca rekod dipegang oleh Lucid Air Grand Touring, ini ialah Rekod Guinness dan bukan rekod dunia mutlak.
8.China Akan Mewajibkan Pintu Boleh Dibuka Secara Manual Di Dalam Dan Luar Kenderaan

Kereta khususnya EV dilengkapi pintu automatik yang menggunakan kuasa elektrik. Banyak EV di pasaran Malaysia mempunyai pintu tanpa pemegang dengan ia dibuka menggunakan butang. Tetapi pihak berkuasa China ingin mewajibkan pintu dilengkapi sistem mekanikal di bahagian dalam dan luar kenderaan bagi tujuan kecemasan. Pintu juga perlu mempunyai pemegang yang boleh ditarik dan bukan dari jenis tersorok (bagi tujuan aerodinamik) seperti yang popular digunakan sekarang.
Apa yang berlaku dalam kemalangan EV ialah, kuasa elektrik terputus dan penumpang terperangkap di dalam kenderaan. Sistem mekanikal yang disertakan kerap kali tersorok dan dalam keadaan panik sudah wujud beberapa kes penumpang mati terbakar. Pintu elektrik juga tidak membenarkan orang di luar membuka pintu.
Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat China akan memperhalusi keperluan pintu mekanikal pada semua kenderaan pada bulan November. Jika cadangan diluluskan, semua kenderaan baharu di China perlu menyertakan ciri ini menjelang pertengahan 2027.
9.Teknologi Bateri CATL Memberikan Jarak Perjalanan 520 KM Selepas Dicas 5 Minit

Selain melancarkan bateri ion natrium komersial pertama dunia, CATL juga mengumumkan teknologi bateri baharu yang membolehkan ia memberikan jarak perjalanan sehingga 520 km selepas dicas selama 5 minit sahaja. Teknologi Shenxing Superfast Charging Battery generasi kedua ini turut adalah bateri LFP pertama dengan kemampuan jarak perjalanan 800km dan menyokong pengecasan 12C.
Untuk mencapai tahap pengecasan yang amat pantas ini, teknologi baharu dengan kuasa 1.3 MW diperlukan. Sebagai perbandingan kuasa pengecasan tertinggi di Malaysia ketika ini ialah 400kW yang ditawarkan oleh DC Handal. Pengecasan 12C ini membolehkan sehingga jarak perjalanan 2.5 km ditambah setiap saat bateri dicas. Ini akan merealisasikan impian bateri EV dicas sama pantas seperti mengisi satu tangki kereta petrol.
Dengan ini CATL berjaya memintas teknologi Super e-Platform BYD yang menawarkan jarak perjalanan 400 km dalam masa 5 minit dengan kuasa pengecasan 1MW. Teknologi BYD telahpun digunakan pada BYD Han L dan Tang L. Masih tidak diketahui syarikat manakah bakal menggunakan bateri Shenxing 2.0 ini tetapi CATL membekalkan bateri kepada Tesla, BMW, Volkswagen, Ford, Hyundai, Honda, Toyota, Geely, NIO, dan banyak lagi.
10. 100 Lori Elektrik Beroperasi Secara Swapandu Di Lombong Menggunakan Teknologi 5G Huawei

Teknologi swapandu dan 5G-Advanced Huawei telah digabungkan dengan 100 lori Huaneng Ruichi untuk melakukan operasi perlombongan di Mongolia, China. Ini adalah kali pertama teknologi swapandu dan 5G-A digunakan di dunia untuk melakukan operasi pada skala besar serta di dunia sebenar.
Penggunaan teknologi ini bagi menyambut sahutan kerajaan China yang ingin meningkatkan penggunaan kenderaan elektrik yang lebih selamat, pintar dan menjadikan operasi lombong lebih hijau. Setiap lori Huaneng Ruichi boleh membawa sehingga 90 tan metrik muatan dengan kecekapan 120% berbanding pemandu lori manusia.
Huawei Cloud membekalkan teknologi Commercial Vehicle Autonomous Driving Cloud Service (CVADCS) yang membolehkan pemetaan laluan di dalam lombong dilakukan secara masa nyata. Ini menurut Huawei meningkatkan optimasi laluan, mengurangkan tempoh menunggu dan meningkatkan kecekapan operasi.
Teknologi 5G-A Huawei membolehkan kelajuan muat naik data sehingga 500 Mbps dengan masa pendam 20 ms. Huawei mengatakan kelak teknologi ini akan dipertingkatkan bagi membolehkan sehingga 300 kenderaan swapandu dipantau serentak 24 jam sehari.






