Peranti pintar yang dibangunkan untuk tujuan gaming bukanlah sesuatu yang baru. ASUS, Razer, Lenovo, iQOO, RedMagic dan sebagainya sudahpun memasuki pasaran global dan tempatan dan hanya sebahagian daripadanya kekal hingga sekarang.

Tetapi jenama gaming terkemuka dari China, Ayaneo yang dikenali untuk konsol-konsol gaming mudah-alih mereka baru-baru ini telah membuka laman biayasama di Kickstarter untuk peranti pintar gaming Android pertama mereka yang dinamakan Ayaneo Pocket Play.

Dari segi rekaan, peranti pintar ini tidak jauh rupanya dari sebuah lagi peranti pintar gaming yang dikeluarkan Sony pada tahun 2011, iaitu Sony Xperia Play. Sama seperti peranti tersebut, Ayaneo Pocket Play mempunyai mekanisma meluncur yang memberi akses kepada alat kawalan fizikal permainan seperti butang D-Pad, butang-butang input dan sebagainya. Ia juga hadir dengan kawalan analog sesentuh untuk mengawal pergerakan dan juga halatuju kamera daam permainan.

Setakat ini Ayaneo hanya memperlihatkan rekaan peranti Pocket Play sahaja. Spesifikasi seperti saiz dan jenis paparan, cip pemprosesan yang digunakan, beserta sistem operasi, penawaran memori dan storan tidak diketahui lagi.
Butiran ini dijangka akan diperkenalkan di masa akan datang, bersama-sama dengan harga peranti tersebut, yang juga tidak diketahui setakat ini.






