Keluarga mendiang Teoh Beng Hock sedang mempertimbangkan untuk memohon semakan kehakiman terhadap Peguam Negara susulan keputusan untuk mengklasifikasikan siasatan kematiannya sebagai “tiada tindakan lanjut” (No Further Action, NFA).
Peguam keluarga tersebut, Ramkarpal Singh mengkritik penjelasan yang diberikan oleh Peguam Negara.
Katanya, penjelasan itu tidak meredakan kebimbangan keluarga terhadap ketelitian dan profesionalisme siasatan yang dijalankan.
Ramkarpal berkata pihaknya memerlukan lebih masa untuk meneliti sepucuk surat daripada Peguam Negara, Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, yang mengandungi penjelasan berkenaan keputusan NFA tersebut.

Ramkarpal berkata surat itu menyebut kekurangan bukti untuk memulakan prosiding jenayah, selain berhujah bahawa dapatan Mahkamah Rayuan adalah berdasarkan undang-undang sivil.
“Adalah mengecewakan apabila Peguam Negara membuat kesimpulan bahawa tiada bukti mencukupi, sedangkan polis telah diberikan masa yang mencukupi untuk menyiasat tragedi ini sejak tahun 2009.”
“Peguam Negara sepatutnya mendedahkan butiran lanjut hasil siasatannya, khususnya berkenaan mengapa dia mengatakan tiada bukti mencukupi, kerana kenyataan umum seperti itu langsung tidak menghilangkan kebimbangan sebenar keluarga bahawa siasatan ini tidak dijalankan secara teliti dan profesional,” katanya pada satu kenyataan.
Menurutnya keluarga akan mengumumkan keputusan mereka dalam masa terdekat.
Pada 22 Mei lalu, Ramkarpal mempersoalkan keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC), dengan menekankan keluarga Teoh tidak dimaklumkan secara langsung, sebaliknya perkara itu hanya disampaikan oleh pihak polis.
Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia menulis kepada Ramkarpal pada 20 Mei untuk memaklumkan keputusan AGC, yang dikatakan dibuat pada 19 Mei.
Pada 2009, Teoh setiausaha politik kepada Adun Seri Kembangan ketika itu, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati selepas sesi soal siasat semalaman di pejabat SPRM Selangor yang ketika itu berpusat di Plaza Masalam, Shah Alam.
Dalam kenyataan yang sama, Ramkarpal turut melampirkan surat daripada Peguam Negara bertarikh 30 Mei.
Dalam surat itu, Ahmad Terrirudin menjelaskan prosiding undang-undang jenayah memerlukan tahap pembuktian yang lebih tinggi berbanding undang-undang sivil, yang hanya memerlukan keyakinan berdasarkan imbangan kebarangkalian.
Dia berkata keputusan Mahkamah Rayuan pada 2014 yang menyimpulkan kematian Teoh disebabkan atau dipercepatkan oleh tindakan tidak sah, dibuat dalam konteks sivil dan tidak boleh menjadi asas tunggal prosiding jenayah tanpa bukti langsung yang mencukupi.
Tegasnya pihak AG tidak menafikan kematian Teoh namun undang-undang tidak boleh diubah sesuka hati.
Ahmad Terrirudin juga memberi jaminan bahawa jika terdapat bukti baru, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk membuka semula siasatan.
Pada 2011, Suruhanjaya Siasatan Diraja memutuskan Teoh didorong untuk membunuh diri akibat sesi soal siasat yang agresif.
Pada 21 November tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan pihak polis untuk menyiapkan siasatan berhubung kematian Teoh dalam tempoh enam bulan, selepas Hakim Mahkamah Rayuan, Wan Ahmad Farid Wan Salleh, membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh ibu bapa mendiang.
Ketika pentadbiran pertama PH di bawah perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad, kabinet telah bersetuju untuk membuka semula siasatan ke atas kematian Teoh.
Sebelum siasatan dibuka semula, dua pasukan siasatan khas telah ditubuhkan masing-masing pada tahun 2011 dan 2015. Namun kedua-dua siasatan itu turut diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).