Ahli Parlimen Padang Serai, Azman Nasrudin, hari ini didakwa bersubahat dengan seorang ahli perniagaan untuk menerima rasuah bernilai RM400,000 dalam projek ladang ternakan lembu.
Menurut kertas pertuduhan, Azman didakwa bersubahat dengan mengarahkan syarikat Kedah Agro Holding Berhad (KAHB) untuk mengeluarkan surat tawaran kepada ahli perniagaan, Mohd Hassanaim Fauzi, yang membayar rasuah tersebut.
Rasuah itu diberikan kepada ahli perniagaan, Amar Assuat Abu Bakar.
Kesalahan itu didakwa berlaku pada 23 Jun 2020. Ketika itu Azman merupakan exco pertanian Kedah.
Sementara itu, Amar Assuat pula dikenakan dua pertuduhan kerana meminta dan menerima rasuah daripada Mohd Hassanaim.
Azman dan Amar Assuat mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut.
Mereka didakwa di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Mohd Nasir Nordin.
Azman, 53, didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 yang dibaca bersama seksyen 16(a) akta yang sama.
Dia dituduh melibatkan RM400,000 sebagai balasan membantu mendapatkan hak penggunaan tanah bagi projek fidlot.
Dalam prosiding sama, Amar Assuat turut mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM.
Suapan itu diberikan sebagai balasan untuk membantu Mohd Hassanaim mendapatkan projek usahasama ternakan lembu pedaging secara fidlot di Ladang Fidlot Kedah Agro yang ditawarkan oleh KAHB.
Kedua-dua tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda daripada nilai suapan jika disabitkan bersalah nanti.
Terdahulu, Mohd Nasir menetapkan ikat jamin sebanyak RM75,000 dengan seorang penjamin masing-masing kepada Azman dan Amar Assuat.
Mereka juga diminta menyerahkan pasport kepada mahkamah selain wajib melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali.
[Laporan lanjut menyusul]






