Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin menyoal tindakan kerajaan menuntut dividen daripada Petronas tanpa mengambil kira kemerosotan keuntungan syarikat itu dan kebajikan para pekerjanya.
Dalam satu kenyataan hari ini, Hamzah berkata penstrukturan semula Petronas boleh dielakkan sekiranya kerajaan tidak “memerah” syarikat milik negara itu demi memperoleh dividen.
“Apa yang mengejutkan, dalam keadaan keuntungan Petronas jatuh dengan begitu besar, kerajaan tetap memerah Petronas membayar dividen RM32 bilion kepada kerajaan untuk tahun 2025, sama seperti tahun 2024.
“Walhal, jika kerajaan tidak memerah Petronas dan mengambil langkah mengurangkan kadar bayaran dividen mengikut prestasi keuntungan semasa Petronas, penstrukturan semula yang memangsakan rakyat ini boleh dielakkan.

“Kerajaan perlu memberikan penjelasan rasional mengapa dividen Petronas kekal diperah tanpa mengambil kira kejatuhan keuntungan syarikat dan kebajikan kakitangan?
“Rakyat berhak tahu, adakah ini pengurusan fiskal yang adil,” katanya.
Semalam, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tengku Taufik Tengku Kamadjaja Aziz memaklumkan syarikat itu akan mengurangkan tenaga kerja sebanyak kira-kira 10 peratus sebagai langkah penjimatan kos, susulan kejatuhan harga minyak mentah dan kesan turun naik pasaran yang tidak menentu terhadap keuntungan syarikat.
Lebih 5,000 pekerja dijangka terjejas, menurut laporan Bloomberg yang memetik kenyataannya.
Selain daripada penstrukturan semula di seluruh syarikat, semua aktiviti kenaikan pangkat dan pengambilan pekerja baru akan dibekukan sehingga Disember 2026, jelas Tengku Taufik lagi.
Menurut laporan tersebut, keuntungan Petronas merosot sebanyak 32 peratus tahun lalu, selepas mengalami penurunan 21 peratus pada tahun sebelumnya.
Terdahulu hari ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata langkah itu akan melibatkan kebanyakannya pekerja kontrak.
Bagaimanapun, Naib Presiden Bersatu Radzi Jidin berkata kehilangan pekerjaan akan memberi kesan kepada semua pekerja, tanpa mengira sama ada mereka berstatus kontrak atau tetap.