Mahkamah Rayuan telah menetapkan tarikh bagi mendengar permohonan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk menangguhkan perbicaraan saman sivil serangan seksual terhadapnya, menjelang perbicaraan kes itu yang dijadualkan berlangsung di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 16 Jun.
Menurut laporan FMT, mahkamah menetapkan 10 Jun untuk mendengar permohonan penangguhan sementara prosiding dan 21 Jun bagi permohonan penangguhan kekal sehingga keputusan rayuan diputuskan.
Laporan itu memetik peguam Anwar, K Rajasegaran yang berkata tarikh berkenaan ditetapkan selepas sesi pengurusan kes di hadapan seorang timbalan pendaftar mahkamah petang tadi.
Para peguam Anwar kini mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan untuk membatalkan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Ros Mawar Rozain, yang pada hari Rabu menolak permohonan Anwar untuk menangguhkan saman itu bagi merujuk lapan persoalan perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan.
Saman sivil tersebut difailkan oleh bekas pembantu peribadi Anwar, Yusoff Rawther yang menuduh Anwar melakukan serangan seksual ke atasnya.
Anwar telah memohon agar perbicaraan ditangguhkan sementara bagi mendapatkan keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung persoalan sama ada dia mempunyai kekebalan istimewa daripada tindakan undang-undang, serta sama ada Mahkamah Tinggi perlu menjalankan penilaian awal (threshold inquiry) untuk menentukan sama ada saman itu merupakan satu bentuk penyalahgunaan proses mahkamah atau mengancam kepentingan awam.
Permohonan tersebut turut meminta penjelasan sekiranya Anwar, dalam kapasiti sebagai perdana menteri, layak mendapat perlindungan di bawah Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan daripada tindakan undang-undang oleh “litigan yang berniat jahat”, iaitu individu yang memfailkan saman dengan strategi politik atau taktikal bagi menggugat keupayaan dia mentadbir.
Namun, Hakim Ros Mawar menolak permohonan itu dan memutuskan perbicaraan pada 16 Jun akan diteruskan seperti dijadualkan.
“Dari sudut kehakiman, persoalan-persoalan yang dicadangkan tidak kelihatan memenuhi ambang kontroversi perlembagaan yang sebenar… apa yang jelas, tidak setiap persoalan menyentuh ciri-ciri perlembagaan yang membolehkan ia dirujuk di bawah Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
“Mahkamah ini perlu berpuas hati bahawa persoalan-persoalan perlembagaan tersebut adalah tulen dan relevan secara material dalam penyelesaian kes ini, kerana Mahkamah Persekutuan bukanlah forum untuk pendapat spekulatif atau pertahanan yang bersifat nasihat.
“Mahkamah ini… tidak berpuas hati, maka permohonan untuk merujuk persoalan-persoalan tersebut kepada Mahkamah Persekutuan adalah ditolak,” katanya.
Dalam permohonan yang difailkan semalam oleh firma guaman Tetuan Zain Megat & Murad mewakili Anwar, mereka berhujah persoalan undang-undang yang ingin dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan akan menjadi tidak bermakna (nugatory) sekiranya perbicaraan diteruskan terlebih dahulu.
“Penangguhan di Mahkamah Tinggi adalah amat penting dan perlu untuk memelihara prinsip keadilan, kesaksamaan dan integriti perlembagaan,” menurut petikan FMT daripada permohonan tersebut.