Malaysia Oversight

ULASAN l Khutbah terakhir Nabi SAW, pidato agung di Padang Arafah

By MkiniBM in June 7, 2025 – Reading time 4 minute
malaysiakini logo


ULASAN l Setiap tahun, sekitar hampir 1.9 juta umat dari pelosok dunia berkumpul di Padang Arafah yang menjadi kemuncak ibadah haji. Di sini, bukan sekadar ritual dijalankan, malah ia menjadi pentas perenungan, permohonan ampun dan harapan baharu kepada Allah, Tuhan Maha Esa.

Namun, di sebalik semua itu Arafah menyimpan satu detik paling agung dalam sejarah umat iaitu khutbah terakhir Nabi Muhammad SAW.

Disampaikan pada 9 Zulhijjah tahun ke-10 Hijrah (bersamaan 632 Masihi), khutbah yang dikenali sebagai Khutbah Wada’ ini bukan sekadar ucapan selamat tinggal. Ia deklarasi nilai mengenai keadilan, kesamarataan, hak asasi dan arah tuju masyarakat yang dirumuskan oleh Baginda SAW.

Hari ini, rujukan teks majoriti khutbah Wada yang kita fahami dan berlegar di kitab dan media sosial dipercayai merupakan versi dalam catatan Sirah Nabawiyah Li Ibni Hisham [Abdul Malik Ibn Hisham] yang memetiknya daripada ahli sejarah Islam Muhammad Ibn Ishak [wafat 151H].

c15673849ddf2669d289d7492c919b6c

Khutbah tersebut diriwayatkan dalam pelbagai variasi dan rangkap ayat seperti tercatat dalam pelbagai kitab hadis yang muktabar.

Sebenarnya, khutbah ini bukan ucapan biasa. Ia pidato massa yang menggema tanpa mikrofon, tanpa sistem siar raya namun mesejnya kekal hidup lebih 1,400 tahun kemudian.

Jika hari ini kita melihat kuasa propaganda sebagai alat menyebar pengaruh melalui media moden, maka khutbah ini contoh paling awal dan paling berjaya dalam sejarah propaganda lisan yang membawa perubahan peradaban.

Istilah “propaganda” sering disalahfahami dan dianggap sinonim dengan penipuan atau manipulasi.

f9915f8c0ec96de3643acecee1ab40e9

Padahal, akar katanya dari bahasa Latin propagare, yang bermaksud “menyebarkan” mula diperkenalkan pada tahun 1622. Sesuai dengan perubahan zaman propaganda menjadi sebahagian dari aktiviti komunikasi persuasif dengan kemahiran ucapan lisan, teks, grafik dan muzik.

Namun Nabi Muhammad SAW jauh lebih awal mempraktikkan ucapan lisan yang berpengaruh dalam bentuk yang murni dan suci. Khutbah terakhirnya adalah kemuncak penyampaian mesej Islam kepada umat manusia.

Ia bukan sekadar kata-kata indah malah menjadi strategi lisan yang berjaya menyampaikan nilai keadilan, kesamarataan dan perpaduan secara berkesan dalam satu momen, kepada lebih 100,000 orang.

Rasulullah berdiri di atas unta Qaswa dan menyampaikan amanat besar Baginda. Suara Baginda dibantu oleh sahabat-sahabat seperti Rabi’ah bin Umayyah untuk disampaikan kepada lautan manusia yang hadir.

Pidato massa pertama

Bayangkan, ini seumpama pidato massa pertama dalam dunia Islam dan mungkin paling berpengaruh sepanjang zaman.

Bayangkan kekuatan naratif dan kefasihan orator yang mampu menyentuh hati manusia dari pelbagai kabilah, bangsa dan latar belakang, tanpa teknologi, tanpa bahan bercetak, hanya melalui pengucapan yang penuh hikmah dan emosi. Inilah propaganda dalam bentuk paling asas dan paling berpengaruh.

Dalam sejarah dunia, pidato-pidato terkenal seperti Gettysburg Address oleh Abraham Lincoln, I Have a Dream oleh Martin Luther King Jr, atau We Shall Fight on the Beaches oleh Winston Churchill, semuanya dikenang kerana kuasa kata-kata yang membangkitkan semangat dan perpaduan.

Namun, khutbah Wada’ lebih daripada itu. Ia bukan hanya merangsang emosi, tetapi menyediakan kerangka nilai yang menjadi asas kepada pembentukan ummah. Khutbah ini menjadi teks hidup yang disampaikan secara lisan, tetapi kemudian direkod, dihafal, dan diamalkan oleh generasi ke generasi. Ia melepasi waktu dan budaya lantas menjadikannya bukti betapa kuatnya propaganda lisan yang jujur dan bersih.

b19d6bdaf008e793de91121a9cbe0500

Berbanding propaganda politik moden yang sering memperalatkan ketakutan, kebencian atau penyesatan, khutbah Nabi SAW memanfaatkan propaganda untuk mendidik, menyatukan dan menyembuhkan. Ia adalah “propaganda pencerahan” menyeru kepada persaudaraan, kesetaraan dan tanggungjawab moral.

Paling jelas konsep kesamarataan yang digariskan oleh Nabi Muhammad SAW dalam khutbah terakhir Baginda kepada prinsip keadilan sejagat yang terkandung dalam ajaran Islam.

Kasta, diskriminasi ras

Dalam sabdanya yang agung, Baginda menegaskan: “Tidak ada kelebihan bagi orang Arab ke atas Ajam (bukan Arab), dan bukan Arab (Ajam) ke atas orang Arab, atau orang putih ke atas orang hitam, atau orang hitam ke atas orang putih melainkan dengan takwa.”

Ayat ini peluru paling kuat menembak jatuh kasta, diskriminasi ras dan keangkuhan etnik. Ia bukan sekadar dalam konteks masyarakat Arab, malah relevan hingga ke hari ini.

Baginda tidak menjual impian palsu. Apa yang disampaikan telah dibuktikan melalui tindakan sebagaimana Bilal bin Rabah, seorang hamba kulit hitam, diangkat menjadi muazzin pertama; bagaimana Salman al-Farisi, bukan Arab, menjadi penasihat strategi; dan bagaimana wanita diberi hak yang tidak pernah ada dalam dunia jahiliyyah.

Dalam negara majmuk seperti Malaysia, khutbah ini sepatutnya menjadi rujukan dasar dan sikap. Jika naratif politik hari ini penuh dengan permainan identiti, khutbah Rasulullah SAW menawarkan satu jalan tengah iaitu hormati perbezaan, angkat nilai, dan satukan umat melalui keadilan.

Khutbah ini “naratif agung Islam” yang perlu dimasukkan semula dalam wacana awam, bukan sekadar inti khutbah Jumaat. Ia adalah pedoman strategi komunikasi umat Islam dalam membentuk masyarakat yang seimbang bermula dari rumah sehinggalah pentadbiran negara. Ia menjadi benteng kepada penindasan diskriminasi dan kezaliman wanita. Baginda menyeru wanita dimuliakan dan diurus rumah tangga dengan penuh kasih sayang.

Khutbah terakhir Nabi SAW adalah contoh paling unggul bahawa kata-kata, bila disampaikan dengan niat yang tulus, mampu membentuk sejarah. Ia bukan sekadar pesanan perpisahan namun adalah “konstitusi moral” yang Allah ilhamkan kepada Nabi-Nya untuk disampaikan kepada seluruh manusia.

Jika hari ini kita ragu terhadap kuasa ucapan dalam dunia politik dan sosial yang semakin celaru, maka khutbah Wada’ membuktikan bahawa lisan yang lurus dan jujur tetap relevan. Itulah kekuatan sebenar propaganda Islam, bukan untuk menakluk, tetapi untuk menyatukan dan membina tamadun.


BUDIMAN MOHD ZOHDI ialah naib ketua bahagian Sungai Besar dan bekas ahli parlimen.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.



Source link