Malaysia Oversight

Pemuda Bersatu gesa henti pungutan data rakyat tanpa izin

By MkiniBM in June 7, 2025 – Reading time 2 minute
Pemuda Bersatu gesa henti pungutan data rakyat tanpa izin


Pemuda Bersatu (Armada) mengecam tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang didakwa mengarahkan syarikat-syarikat telekomunikasi menyerahkan data rakyat tanpa persetujuan pengguna.

Menurut exco Armada, merangkap pengarah jabatan komunikasi dan media baharu parti itu, Na’im Brundage, arahan SKMM tersebut disifatkan sebagai pencerobohan terhadap privasi rakyat dan melanggar prinsip asas perlindungan data peribadi.

“Armada mengecam sekeras-kerasnya tindakan ini. Ia bukan sahaja tidak beretika, malah mengundang persoalan besar terhadap komitmen dalam menjaga hak asasi dan privasi warganegara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

c8eeedb0294e2440c6eceec47c868b11

Na’im merujuk kepada laporan media yang mendedahkan SKMM telah mengarahkan pengendali rangkaian telekomunikasi untuk menyerahkan data pengguna termasuk rekod panggilan, aktiviti internet dan lokasi GPS.

Tindakan itu didakwa dilakukan dengan ancaman tindakan undang-undang di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia, yang boleh membawa hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara enam bulan bagi syarikat yang ingkar.

Lebih membimbangkan, kata Na’im, arahan tersebut dilaksanakan tanpa sebarang pemberitahuan kepada rakyat atau rundingan awam terlebih dahulu.

“Adalah amat membimbangkan apabila rakyat hanya mengetahui perkara ini melalui laporan media antarabangsa.

“Ini menimbulkan persoalan tentang ketelusan serta kebertanggungjawaban pihak berkuasa,”katanya.

SKMM sebelum ini menjelaskan bahawa data yang dikumpul tidak mengandungi maklumat peribadi yang boleh mengenal pasti individu secara langsung. Bagaimanapun, Armada berpendapat penjelasan itu belum cukup meyakinkan.

15b6b7889f24b72a8c431654d9e69087

“Setakat ini tiada jaminan atau pendedahan bagaimana data itu diproses, langkah perlindungan yang digunakan, dan siapa yang memantau agar data itu tidak disalah guna,” katanya.

Sehubungan itu Pemuda Bersatu turut menuntut agar sebarang bentuk pungutan data dihentikan serta-merta dan hanya dibenarkan selepas mendapat kebenaran jelas daripada pemilik data serta melalui proses konsultasi awam yang telus.

Na’im menambah bahawa sebarang dasar yang melibatkan pengumpulan data besar-besaran perlu dipantau oleh badan bebas bagi menjamin integriti dan kepercayaan awam.

“Ini bukan sekadar isu teknikal. Ini soal kepercayaan rakyat terhadap institusi dan yang sepatutnya melindungi mereka, bukan memantau mereka secara senyap-senyap,” katanya.

Setakat ini, SKMM belum memberikan maklum balas lanjut berhubung gesaan tersebut.



Source link