
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) baru-baru ini telah mengumumkan bahawa mereka telah mengesan sebanyak 957 kes kandungan sosial media melibatkan kanak-kanak sepanjang tahun 2025 dari 1 Januari 2025 sehingga 30 November 2025.
Menurut laporan Bernama, daripada 957 kes tersebut, 899 daripada kandungan tersebut telah berjaya dipadamkan daripada platform-platform media sosial, dimana platform-platform yang memberikan kerjasama paling cepat ialah Tumblr, TikTok dan juga Facebook.
Ini adalah sebahagian daripada operasi Ops Pedo yang dijalankan sejak penghujung 2024, dimana SKMM bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia untuk menjejak dan menangkap pembekal kandungan amang seksual kanak-kanak. Setakat ini, ia dilaporkan bahawa 13 individu dan lebih 40 ribu kandungan amang seksual kanak-kanak telah ditemui setakat ini.
Ops Pedo 2.0 yang dijalankan dari 22 ke 30 September 2025 pula telah berjaya menangkap 31 individu di 37 lokasi yang dikenalpasti dan melibatkan pelbagai jenis individu dari guru sekolah ke pendatang asing di Malaysia.
Dalam pada itu, Kempen Internet Selamat yang dijalankan juga telah berjaya memberi kesedaran kepada murid-murid, para guru, ibu-bapa dan komuniti setempat tentang bahaya kandungan amang seksual kanak-kanak pada peringkat akar-umbi.
Pihak kerajaan juga dilihat sedang bersiap-sedia untuk memperkenalkan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA 2025) yang termasuklah kewajipan untuk menetapkan had umur 16 tahun dan keatas apabila individu rakyat Malaysia mahu mendaftar akaun media sosial baru dan memperkenalkan pelbagai rangkakerja dan undang-undang baru untuk memastikan keselamatan digital dan atas talian orang ramai.






