Malaysia Oversight

SPRM sita aset RM143j milik Tan Sri

By MkiniBM in June 4, 2025 – Reading time 2 minute
SPRM sita aset RM143j milik Tan Sri


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita pelbagai aset bernilai RM143 juta dipercayai milik seorang pemegang konsesi bergelar Tan Sri yang terkait dengan siasatan penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata sitaan itu membabitkan 14 akaun individu berjumlah RM4.5 juta, lapan akaun syarikat (RM33 juta), kondominium mewah dan sebidang tanah (RM24.5 juta), serta sembilan unit kereta bernilai RM7.65 juta.

Tidak ketinggalan, 13 kereta yang masih belum diserahkan kepada pasukan siasatan.

Azam berkata SPRM turut menyita jam tangan mewah bernilai RM25 juta, tas tangan (RM3 juta), barang kemas serta berlian (RM6 juta), empat ekor kuda (RM400,000), minuman keras mewah (RM3 juta), aset luar negara yang dianggarkan bernilai lebih RM15 juta serta aktiviti perjudian yang dipercayai mencecah RM20 juta.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku antara 2016 hingga 2020 membabitkan dana sukuk yang diluluskan kira-kira RM1.35 bilion dan melibatkan penyelewengan tuntutan palsu bernilai kira-kira RM360 juta serta RM416 juta, selain pinjaman fasiliti bank lain sebanyak RM50 juta.

“Projek lebuh raya bernilai RM1.67 bilion itu juga gagal disiapkan dalam tempoh ditetapkan.

“Siasatan turut menumpukan isu rasuah bernilai RM12 juta yang dibayar kepada pihak tertentu sebagai balasan membantu mengalirkan wang keluar dan dikembalikan semula kepada suspek,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Tanya doktor status Tan Sri

Azam berkata hasil tuntutan dana yang diseleweng itu dipercayai turut digunakan dalam aktiviti pengubahan wang haram.

Mengulas lanjut, dia berkata pihak yang terlibat dipercayai turut menggunakan golongan profesional seperti juruaudit, pakar kewangan, jurutera serta syarikat-syarikat yang bertindak sebagai penerima wang secara berlapis.

“Sehingga kini, SPRM belum mengambil keterangan Tan Sri terbabit kerana beliau masih dirawat di sebuah hospital swasta .

“Hari ini pegawai penyiasat akan mendapatkan pengesahan doktor berhubung status kesihatan beliau sebelum merakam keterangannya.

“Jumlah saksi juga masih kekal 45 orang dan sebahagian daripada mereka dipanggil semula untuk memberikan keterangan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Azam berkata pasukan siasatan sedang mengesan kenderaan mewah dan hartanah milik Tan Sri berkenaan di dalam dan luar negara, termasuk di London dan Switzerland.

Menurutnya, siasatan turut tertumpu kepada nilai sebenar minuman keras mewah dalam simpanan Tan Sri itu, dengan kemungkinan wang berkaitan telah dipindahkan ke akaun lain.

Katanya notis pengisytiharan harta telah diserahkan kepada Tan Sri terbabit serta pihak yang berkaitan.

Bernama



Source link