Apple Menggantikan Timbalan Presiden Kanan Pembelajaran Mesin dan Strategi AI
Effi Saharudin
Apple mengumumkan rombakan pucuk pimpinan syarikat dengan John Giannandrea, Naib Presiden Kanan untuk strategi pembelajaran mesin dan kecerdasan buatan (AI) di Apple meletakkan jawatan beliau dan akan bersara pada tahun 2026. Tugas beliau diambil alih oleh Amar Subramanya yang pernah memegang jawatan sebagai Naib Presiden Korporat AI di Microsoft dan pernah berkhidmat lebih sedekad di Google.

Beliau akan melapor terus kepada Craig Federighi dan diberikan tanggungjawab mengembalikan Apple Intelligence ke jalan yang betul selepas mengalami pelbagai isu seperti tidak memenuhi sasaran yang ditetapkan sejak diumumkan pada tahun 2024.
Kerana prestasi Apple Intelligence yang kurang memuaskan, muncul laporan Apple akan menggunakan model AI berasaskan Google Gemini bagi memenuhi keperluan AI pada peranti. Sistem yang digunakan Siri dan Apple Intelligence pada ketika ini dilihat ketinggalan berbanding yang ditawarkan oleh Gemini dan ChatGPT.
Walaupun penggunaan AI khususnya AI generatif dilihat jijik oleh peminat tegar Apple, syarikat tidak boleh menawarkan ciri ini pada peranti mereka sekiranya ingin kekal kompetitif. Sir Jony Ive dan Sam Altman kini sudahpun menguji prototaip peranti AI pertama OpenAI yang dikhabarkan anti-iPhone bagi menyelesaikan isu ketagihan peranti yang berlaku sekarang. Saingan juga akan diberikan oleh cermin mata pintar yang kini semakin popular kerana hanya perlu dikawal dengan suara.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.





