OnePlus mula mengusik kehadiran tiga produk baharu sejak bulan lalu dan kini mereka mendedahkan lebih banyak maklumat menjelang pelancaran rasmi pada 17 Disember ini. Produk-produk yang bakal diperkenalkan merangkumi OnePlus 15R, Pad Go 2 dan Watch Lite.

OnePlus 15R akan hadir dengan skrin AMOLED 1.5K bersama kadar segar semula 165Hz, malah ia turut dilengkapi enjin fotografi Detail Max Engine dengan tiga teknologi utama iaitu Ultra Clear Mode, Clear Burst dan Clear Night Engine seperti pada OnePlus 15.

Dari segi prestasi, peranti akan dikuasai oleh cip Snapdragon 8 Gen 5 yang baru diumumkan Qualcomm sekali gus menjadikannya telefon pintar pertama di dunia dengan cip tersebut. Selain itu, ia menyertakan cip dalaman OnePlus iaitu G2 Wi-Fi dan Touch Response Chip.


OnePlus Pad Go 2 hadir dengan skrin LCD 12.1 inci 2.8K yang menawarkan kecerahan maksimum 900 nits serta menyokong Dolby Vision, manakala OnePlus Watch Lite pula menjanjikan ketahanan bateri lebih 10 hari dengan lebih 100 mod sukan dan fungsi kesihatan 60-second Wellness Overview. Maklumat penuh mengenai kedua-dua peranti ini hanya akan diketahui selepas pelancaran rasmi berlangsung kelak.






