TV3 Menggunakan Pengacara AI Bernama Sofea
Effi Saharudin
Media Prima ialah syarikat tempatan yang berani menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam program mereka meskipun dikritik oleh orang ramai. Hujung minggu lalu mereka mula menggunakan hos AI yang menjadi penyampai acara liputan perkembangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 dengan menampilkan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), Sabtu lalu.

Hos yang diberi nama Sofea ini berkongsi data penting dan konteks yang lebih mudah difahami oleh penonton. Antaranya ialah jumlah kerusi, jumlah pengundi dan juga parti-parti yang bertanding dalam PRN kali ini.
Menurut pereka grafik yang menghasilkan Sofea, Nurul Farah’ain Nordin, proses membangunkan pengacara ini mengambil masa sebulan dengan ia melibatkan proses menghasilkan karakter, mood, dan pakaian yang menepati piawaian siaran langsung di televisyen.
TV3 bukan syarikat TV pertama menggunakan hos AI di Malaysia. Status ini dipegang oleh Astro Awani apabila mereka memperkenalkan hos AI dinamakan Joon dan Monica pada tahun 2023. Media Prima walau bagaimanapun menjadi syarikat pertama menggunakan DJ radio AI bernama Aina di Hot FM dan melancarkan siri animasi Misteri di Sebalik Order di TikTok yang dijana sepenuhnya menggunakan AI generatif.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






