
Sony Mengemaskini Konsol PlayStation 5 Dengan Sistem Penyejukan Yang Lebih Kalis Tumpahan
Nazrin
Salah satu daripada rungutan yang diterima daripada orang ramai berkenaan siri konsol permainan Sony PlayStation 5 sebelum ini ialah berkenaan cecair penyejuk (Thermal Interface Material) yang sering bocor keluar dari bahagian CPU apabila konsol tersebut selalu digunakan dalam keadaan menegak.
Setelah menerima sejumlah rungutan ini, Sony nampaknya telah mengemaskini sistem penyejukan untuk kesemua penawaran konsol PlayStation 5 sedia ada, termasuklah PlayStation 5 Pro dan PlayStation 5 Slim untuk memastikan bahawa insiden sama tidak berlaku lagi.
Perkara ini ditemui oleh Modyfikator, seorang YouTuber dari Poland yang telah membeli dan membedah model-model PlayStation 5 terbaru dan menemui bahawa bahagian bongkah penyejukan CPU telah diubahsuai untuk bukan sahaja mengalirkan haba daripada komponen tersebut dengan lebih cekap, tetapi memastikan bahawa cecair logam yang membantu dalam pengaliran haba tersebut tidak lagi bocor ke celah-celah papan induk dan merosakkan konsol ini.
Kemaskini ini dikatakan adalah sesuatu yang dilakukan secara senyap, tetapi pada pendapat beliau dan orang ramai yang lain, ini mungkin adalah satu perubahan yang telah dilakukan untuk semua konsol-konsol yang dijual secara global.
Jika anda masih berada diatas pagar untuk membeli sebuah konsol PlayStation 5, mungkin ini adalah masa yang paling sesuai untuk anda mendapatkannya, dengan kemaskini sistem penyejukan yang serba baru ini.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






