Netflix Tamatkan Sokongan Google Cast Pada Majoriti TV Pintar dan Kotak TV
Effi Saharudin
Secara senyap dan tanpa memberikan sebarang notifikasi, Netflix menamatkan sokongan ciri Google Cast pada majoriti TV pintar dan kotak TV di pasaran. Aplikasi yang baru dikemaskini tidak lagi menyokong ciri yang membenarkan kandungan yang ditonton menerusi aplikasi Netflix di telefon pintar disiarkan ke TV pintar dengan menekan butang Google Cast yang lazimnya di bucu atas kanan.

Menurut laman FAQ Netflix, sokongan Google Cast tidak lagi disokong pada peranti yang mempunyai alat kawalannya yang tersendiri seperti TV pintar, kotak TV dan dongel Chromecast with Google TV. Sokongan hanya diteruskan pada peranti tanpa alat kawalan jauh seperti Chromecast generasi pertama.
Pada peranti Android, logo Google Cast tidak lagi dipaparkan dalam aplikasi Netflix. Pada peranti iOS pula, logo Google Cast masih ada tetapi apabila ditekan tiada peranti dikesan boleh dikesan.
Sebelum ini sokongan Google Cast hanya tidak disokong sekiranya pengguna melanggan kepada pelan yang disokong dengan pengiklanan. Kini semua pengguna tanpa mengira pelan yang dilanggan tidak boleh menggunakan ciri ini.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






