Malaysia Oversight

Dana sukuk projek lebuh raya disalah guna untuk judi

By MkiniBM in June 2, 2025 – Reading time 2 minute
Dana sukuk projek lebuh raya disalah guna untuk judi


SPRM mendedahkan bahawa sekurang-kurangnya RM20 juta daripada dana sukuk yang diperuntukkan bagi projek lebuh raya di Lembah Klang telah disalah guna untuk kegiatan perjudian.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata transaksi itu terbongkar ketika siasatan lanjut dibuat ke atas kes berkenaan.

“Saya telah dimaklumkan oleh pegawai penyiasat bahawa lebih RM20 juta mungkin telah digunakan untuk kegiatan perjudian.

“Kami juga menemui 300 botol minuman keras mewah di sebuah bilik simpanan,” katanya seperti dipetik oleh New Straits Times hari ini.

Menurut Azam, SPRM masih menjejak aset di dalam dan luar negara, yang akan dibekukan atau disita bagi membantu siasatan lanjut.

Setakat ini, pihaknya telah merakam keterangan 45 orang saksi, katanya lagi.

Salah seorang suspek utama dalam kes ini, iaitu seorang individu bergelar Tan Sri, masih menerima rawatan di sebuah hospital swasta setakat semalam.

Pada Ahad lalu, New Straits Times  melaporakan SPRM telah menyita aset dan membekukan akaun bank berjumlah RM85.6 juta dalam siasatannya membabitkan penyalahgunaan dana sukuk untuk projek pembinaan lebuh raya.

Antara aset yang disita adalah 14 akaun peribadi bernilai RM4.5 juta, lapan akaun syarikat bernilai RM33 juta dan kenderaan mewah bernilai RM7.65 juta.

Turut disita ialah beg tangan berjenama bernilai RM3 juta, jam tangan mewah bernilai RM7 juta dan hartanah dengan anggaran nilai RM24.5 juta.

Minuman keras mewah RM3 juta

Dalam serbuannya sebelum ini, SPRM telah menemui sebuah bilik simpanan yang dipenuhi pelbagai jenis minuman keras mewah bernilai kira-kira RM3 juta di sebuah kediaman, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan pengubahan wang haram, menurut New Straits Times.

Pada bulan lalu, empat individu – termasuk seorang Datuk Seri – telah ditahan kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu berjumlah kira-kira RM360 juta.

Suspek yang terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 50 hingga 70 tahun ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM.

Mereka disyaki mengemukakan tuntutan palsu menggunakan dana sukuk yang diperuntukkan untuk projek lebuh raya di Lembah Klang bernilai kira-kira RM1.3 bilion, antara tahun 2016 hingga 2017.



Source link