Malaysia Oversight

Ulasan Google Pixel 9a – Pixel Paling Rasional

By Amanz in May 31, 2025 – Reading time 8 minute
Ulasan Google Pixel 9a – Pixel Paling Rasional


Tahun lalu saya mengulas Google Pixel 9 Pro XL dan saya merasakan ia hanyalah untuk peminat tegar Pixel dan mereka yang ingin pengalaman Android paling suci tanpa ciri tambahan dan aplikasi gendut terpasang. Kombinasi pemproses mercu kurang kompetitif dan harga jualan yang agak mahal membuatkannya sedikit sukar untuk disarankan kepada umum. Tetapi dengan Google Pixel 9a, saya rasakan akhirnya ada satu model Pixel bukan sahaja boleh disarankan tetapi pada harga lebih rasional.

SPESIFIKASI

Google Pixel 9a
Skrin 6.3″ OLED, 120Hz Actua Display, HDR10+
Pemproses Google Tensor G4 (4nm)
Cip 1 X 3.1 GHz Cortex X4 3 X 2.6 GHz Cortex A720 4 X 1.95 GHz Cortex A720
Cip Grafik Mali-G715 MP7
RAM 8 GB LPDDR5X
Muatan Dalaman 128 GB UFS 3.1
Kamera Utama 48MP f/1.7, OIS (Utama) 13MP f/2.2(Ultra Lebar)
Kamera Swafoto 13MP f/2.2
Bateri 5100 mAh Pengecasan berwayar 23W Pengecasan nirwayar 7.5W
SIM/Telefoni 1 Nano, 1 eSIM 5G Sub 6
NFC Ya
Bicu Audio Tiada
Kalis Air IP68
Sistem Imbasan Pengimbas cap jari ultrasonik Imbasan wajah
Harga Jualan RM 2699 (8/128GB)

SKRIN

Dengan skrin 6.3″ OLED 120Hz, ia adalah saiz yang sama seperti yang digunakan pada Pixel 9. Kedua-duanya tidak menyokong sistem LTPO. Perbezaan antara skrin 9a dan 9 Pro XL yang saya ulas tahun lalu terletak pada bezel skrin yang lebih tebal. Ketebalannya sekata pada keempat-empat sudut skrin dan nampak amat ketara jika dibandingkan dengan skrin peranti mercu lebih premium di pasaran.

Google Pixel 9A M

Skrin dari jenis rata maka tidak timbul isu kandungan melimpah ke sisi. Sudut pandangan juga amat memuaskan dengan setiap sentuhan dikesan pantas. Terdapat sokongan HDR10 pada aplikasi penstriman popular seperti Neflix, TV+ dan YouTube.

Google Pixel 9A A

BIOMETRI

Bezel skrin yang tepat ialah indikator pertama di mana potongan kos dilakukan oleh Google. Perubahan kedua yang kurang ketara ialah penggunaan pengimbas cap jari bawah skrin dari jenis optikal. Sebenarnya perbezaan antara optikal dan ultrasonik tidaklah ketara kecuali apabila jari basah atau kotor. Dalam penggunaan biasa nyahkunci masih boleh dilakukan dengan pantas dengan lokasi sensor terletak pada kedudukan yang mudah diakses.

Google Pixel 9 Pro XL A

REKAAN

Pixel 9a mempunyai tubuh yang terasa tegap dan premium di dalam tangan sama seperti Pixel 9 Pro XL, 16 Pro XL dan Oppo FInd X8 yang saya ulas sebelum ini. Ini ialah rekaan tubuh peranti paling optimum sekarang. Sisi rata yang selesa dipadankan dengan kemasan yang tidak berkilat membuatkan peranti tidak licin serta sukar sedikit untuk kotor.

Google Pixel 9A N

Butang kuasa dan laras audio diletakkan pada sisi kanan. Konfigurasi masih lagi butang kuasa di atas dan butang laras audio di bawah seperti Pixel 9 Pro XL. Tak tahu kenapa Google meletakkannya terbalik berbanding peranti Android lain di pasaran.

Di bawah terdapat port pengecasan USB-C dengan alur kekisi audio di sebelah kiri dan talam SIM di bahagian kanan. Bergerak ke atas terdapat lubang mikrofon. Tiada bicu audio 3.5mm, tiada pemancar infra merah dan tiada kekisi audio di atas untuk audio stereo yang menembak ke sisi.

Google Pixel 9A C

Tubuh 9a lebih tebal berbanding 9 Pro XL tetapi ia tidak mempunyai bonggol yang besar untuk kamera dan dilengkapi bateri 5100 mAh yang lebih besar. Besar untuk Google Pixel tetapi pada bulan Mei 2025, ini ialah sekadar saiz sederhana selepas Vivo dan Realme kedua-duanya menawarkan kapasiti bateri melebihi 6500 mAh pada peranti dengan tubuh yang masih kurus seperti pempengruh Instagram.

Google Pixel 9A P

Panel belakang diperbuat logam dan tanpa bonggol kamera boleh diletakkan rata di atas meja. Dwi kamera di belakang sekadar dilindungi satu gelung logam berbentuk bujur. Saya ada membaca beberapa komentar atas talian yang mengatakan rekaan ini hodoh.

Google Pixel 9A D
Google Pixel 9A E

Saya mungkin golongan minoriti yang akan memilih rekaan rata seperti ini walaupun tidak kacak tetapi menjadikan peranti lebih praktikel berbanding bonggol seakan bisul sapi. Tubuh peranti sekadar melepasi piawaian IP68 yang membolehkannya dibawa menyelam atau berenang untuk tempoh masa yang pendek.

PERISIAN – Google Android Paling Asli

Perisian ialah sebab mengapa ramai ingin menggunakan Pixel. Ia adalah versi Android 15 yang paling suci murni tanpa aplikasi gendut dan pelancar pihak ketiga yang tidak begitu menarik. Ini adalah perkara positif pertama 9a kerana tahun lalu 9, 9 Pro dan 9 Pro XL dikecam kerana masih menggunakan Android 14. Peranti akan menerima 7 kemas kini versi Android dan 7 tahun tampalan sekuriti untuk ketenangan sepanjang penggunaan.

Google Pixel 9A I

Perisian ini berjalan dengan cukup lancar dengan ia dipadankan kepada cip Google Tensor G4 sama seperti siri Pixel 9 yang lain. Perbezaan adalah 9a sekadar dilengkapi 8GB RAM tanpa ciri RAM maya dan sekadar storan 128GB UFS 3.1. Hanya ini model di Malaysia yang saya rasakan satu kesilapan besar. Aplikasi lazim sahaja sudah mengambil 20-30GB storan dan permua seperti COD Mobile dan Geshin Impact boleh mengambil sehingga 70GB. Tanpa sokongan mikro SD, storan 128GB akan dipenuhkan dengan pantas.

Google Pixel 9 Pro XL UI.jpg

Selain perisian yang paling ringan, ia masih hadir dengan ciri-ciri menarik seperti Pixel Studio, Screenshot, Magic Editor, Add Me, Reimagine, Gemini dan Circle to Search. Dalam ulasan 9 Pro XL saya mengatakan Gemini Live adalah mengecewakan kerana ia tidak mengintegrasikan pelbagai aplikasi dalam telefon.

Google Pixel 9A H
Pixel Studio

Selepas enam bulan Gemini kini saya boleh gunakan sebagai pengganti Assistant. Lebih pintar, lebih pantas dan dengan sokongan kamera menjadikannya pembantu maya terbaik pada telefon pintar. Google akan menambah lebih banyak ciri seperti yang diperlihatkan di Google I/O minggu lepas. Pada ketika ini apa yang ditawarkan Gemini dan Circle to Search adalah berkali ganda lebih baik berbanding Intelligence kerana ia ada ciri yang saya boleh katakan bukan sekadar gimik murahan.

Google Pixel 9A G
Pixel Magic Editor

PENANDA ARAS

Tiga ujian penanda aras dilakukan dengan skor yang dicatatkan adalah seperti di bawah. Sebagai perbandingan Pixel 9a dibandingkan dengan 6 lagi peranti kelas mercu yang pernah diulas oleh Amanz sebelum ini.

  • Snapdragon 8 Elite – Poco F7 Ultra
  • Snapdragon 8 Elite – Xiaomi 15
  • Snapdragon 8 Elite for Galaxy – Samsung Galaxy S25 Ultra
  • Dimensity 9400 – Oppo Find X8 Pro
  • A18 Pro – Apple 16 Pro Max
  • Tensor G4 – Google Pixel 9 Pro XL

AnTuTu 3D

Peranti Skor
Google Pixel 9a 936,851
Poco F7 Ultra 2,372,609
Xiaomi 15 2,341,598
Samsung Galaxy S25 Ultra 1,946,864
Oppo Find X8 Pro 2,629,017
Apple 16 Pro Max 1,720,751
Google Pixel 9 Pro XL 1,016,712
pixel 9a Antutu

Geekbench 6

Peranti Satu Teras Multi Teras
Google Pixel 9a 1695 4336
Poco F7 Ultra 2276 7108
Xiaomi 15 2918 8917
Samsung Galaxy S25 Ultra 2957 9435
Oppo Find X8 Pro 2663 8959
Apple iPhone 16 Pro Max 3359 8129
Google Pixel 9 Pro XL 1916 4644
pixel 9a Geekbench

3DMark Wildlife Extreme

Cip Skor
Google Pixel 9a 2666
Poco F7 Ultra 5756
Xiaomi 15 Tidak boleh dilakukan
Samsung Galaxy S25 Ultra 6135
Oppo Find X8 Pro 6251
Apple iPhone 16 Pro Max 4560
Google Pixel 9 Pro XL 2567
pixel 9a 3d mark

Dalam semua ujian di markah yang dicatatkan oleh Tensor G4 adalah tidak setanding Snapdragon 8 Elite. Namun begitu markahnya tidak jauh ketinggalan berbanding Pixel 9 Pro XL. Walaupun harga jualan berbeza lebih RM3000, prestasinya masih lagi kompetitif dengan abang-abang lain dalam siri Pixel 9

Google Pixel 9A J

Pixel 9a masih bukan sebuah peranti gaming pada hemat saya. Permua biasa seperti COD Mobile, PUBG Mobile, Mobile Legends dan Subway Surfer semua boleh dijalankan pada tetapan tinggi. Isu hanya muncul bila cuba memainkan Wuthering Waves, Genshin Impact atau COD Warzone. Proses menghasilkan shader untuk Wuthering Waves sangat lama jika dibandingkan dengan Poco F7 Pro (dengan 8 Elite) yang saya ulas beberapa minggu lalu.

Prestasi aplikasi lazim adalah cemerlang sugguhpun 9a hanya mempunyai 8GB RAM sahaja. Google bertegas 9a ialah peranti AI maka semua kuasa Tensor G4 diberikan kepada pemprosesan ciri-ciri ini terus daripada peranti.

KAMERA

Kamera Pixel mempunyai reputasi tinggi walaupun pada model mampu milik. Lima tahun lalu saya mengulas Pixel 4a dan harus diakui walaupun kurang berkuasa, kualiti gambar yang boleh diambil melangkaui kemampuan beberapa peranti yang dijual pada harga lebih tinggi.

Tradisi ini diteruskan dengan kamera utama sudut lebar 48MP, sudut ultra lebar 13MP dan swafoto 13MP. Dalam situasi pencahayaan rendah dan tidak memuaskan, gambar yang diambil masih nampak terang, tajam dan penghasilan warna yang tepat dengan situasi sebenar. Lokasi dengan sumber cahaya tidak pecah dan tiada masalah noise.

Dalam situasi pencahayaan yang baik pula gambar yang diambil kekal mantap. Objek nampak tajam dan ini juga dapat dilihat dapat mod makro. Kekurangan pastinya adalah 9a hanya dilengkapi dua kamera dan bukannya tiga seperti majoriti peranti telefon moden. Prestasi zum 9a menjadi terjejas dengan kualiti gambar hanya elok sehingga 2X. Memang ada ciri Super Res tetapi pada tetapan 8X gambar yang diambil mula hilang ketajaman dan ketepatan warna berkurangan.

Google Pixel 9a Samples PXL 20250510 105904257.MP
Google Pixel 9a Samples PXL 20250510 110114157
Google Pixel 9a Samples PXL 20250510 105920890
Google Pixel 9a Samples PXL 20250426 020613501
Google Pixel 9a Samples PXL 20250506 071554992
Google Pixel 9a Samples PXL 20250504 031809099
Google Pixel 9a Samples PXL 20250426 101443746
Google Pixel 9a Samples PXL 20250429 052805829
Google Pixel 9a Samples PXL 20250429 052808605
Google Pixel 9a Samples PXL 20250506 061801872.MACRO FOCUS

BATERI

Bateri 5100mAh mampu bertahan sepanjang hari tetapi tidak 24 jam. Jika dicabut daripada pengecas pada jam 6 pagi, ia perlu dicas semula pada jam 10 malam. Hayat penggunaan yang setanding dengan Pixel 9 Pro XL walaupun skrin bukan dari jenis LTPO.

Pengecasan semula bateri pula adalah perlahan kerana terhad kepada 23W. Masa mengecas semula bateri daripada 0-100% adalah 95 minit. Saya menyedari pengecasan 23W hanya dilakukan sehingga bateri mencapai 50W sebelum kuasa dikurangkan apabila tahap pengecasan bateri meningkat. Ini bagi memastikan bateri dilindungi daripada kerosakan.

Google Pixel 9A K
Notifikasi anggaran bila pengecasan akan tamat.

Tetapi pembaca sekalian, munasabah ataupun tidak peranti 2025 sekadar menyokong 23W? Seperkaran lagi pengecas tidak disertakan dengan setiap pembelian. Pujian saya berikan kepada Google kerana memberikan notifikasi anggaran bila pengecasan akan tamat dengan paparan waktu jam bukannya masa dalam minit seperti peranti Android lain. Ciri ini sangat berguna sudah kedengaran ura-ura ia akan ditiru oleh iOS 26.

AUDIO

Dua speaker stereo yang digunakan adalah memuaskan. Dalam majoriti situasi audio adalah seimbang dan jelas cuma audio daripada speaker bawah nyata lebih lantang kerana kekisi yang lebih besar. Untuk pengalaman audio terbaik gunakanlah fon telinga atau fon kepala.

Google Pixel 9A O

PESAING

Google Pixel 9a Xiaomi 15 Apple iPhone 16e
6.3″ OLED, 1080 x 2424 120Hz, HDR10+ 6.36″ OLED LTPO, 1200 x 2670, 120Hz, Dolby Vision 6.1″ Super Retina XDR 1170 x 2532, 60Hz, Dolby Vision
Google Tensor G4 (4nm) 1 X 3.1 GHz Cortex X4 3 X 2.6 GHz Cortex A720 4 X 1.95 GHz Cortex A720 Snapdragon 8 Elite (3nm) 2x 4.32 GHz Oryon Prime 6x 3.53 GHz Oryon Performance Apple A18 (3nm) 2x 4.04 GHz Teras Prestasi 4x 2.2 GHz Teras Kecekapan
Mali-G715 MC7 Adreno 830 Apple GPU 4 Teras
8GB LPDDR5X 12GB LPDDR5X 12GB RAM Maya 8GB RAM
128 GB UFS 3.1 256/512 GB UFS 4.0 128/256/512 GB NVMe
Kamera Utama 48MP f/1.7, OIS (Sudut Lebar) 13MP f/2.2 (Ultra Lebar) Kamera Utama 50MP f/1.6, OIS (Sudut Lebar) 50MP f/2.2 (Ultra Lebar) 50MP f/2.0, OIS (Telefoto) Kamera Utama 48MP f/1.6, OIS (Sudut Lebar)
Kamera Hadapan 13-MP f/2.2 Kamera Hadapan 32-MP f/2.0 Kamera Hadapan 12-MP f/1.9
IP68 IP68 IP68
Tiada bicu audio Tiada bicu audio Tiada bicu audio
Audio Stereo Audio Stereo Audio Stereo
5100 mAh Berwayar 23W Nirwayar 7.5W 5240 mAh Berwayar 90W Nirwayar 50W 4005 mAh Berwayar 20W Nirwayar 7.5W
RM 2699 (8/128GB) RM 3499 (12/256 GB)
RM 3699 (12/512 GB)
RM 2999 (8/128 GB)
RM 3499 (8/256 GB)
RM 4499 (8/512 GB)

DALAM KOTAK

Berikut ialah apa yang disertakan dalam kotak.

  • 1x Google Pixel 9a
  • 1x Kabel pengecas USB-C ke USB-C.
  • 1x Manual.
  • 1x Pin SIM.

KESIMPULAN

Google Pixel 9a ialah peranti Pixel paling rasional di Malaysia. Jika anda inginkan pengalaman Pixel paling suci murni tanpa risau rasa menyesal (macam Fahim) kerana bayar mahal prestasi kurang mantap, Pixel 9a ialah pelaburan dengan risiko paling rendah. Ada Tensor G4, sokongan perisian terbaik dalam kelas, hayat bateri amat memuaskan dan prestasi kamera utama yang tidak merosakkan nama baik Pixel.

Google Pixel 9A L

Kekurangan ialah ia bukan peranti gaming, pengecasan perlahan, hanya dwi-kamera dan storan hanya 128GB di Malaysia. Storan kecil ini langsung tak masuk akal kerana aplikasi moden dan gambar semua besar-besar belaka. Di Malaysia Google Pixel 9a dijual pada harga RM2699. Seperti dalam carta pesaing di atas, anda boleh lihat jika dibandingkan dengan dua lagi peranti skrin kecil iPhone 16e dan Xiaomi 15, harga Pixel 9a adalah rasional.

Tetapi izinkan saya memberikan saranan dua peranti alternatif lain yang mungkin anda boleh beli iaitu Poco F7 Pro (bermula RM2299) dengan cip lebih baik serta bateri lebih besar. Honor 400 Pro (RM 2699) juga sebuah lagi peranti alternatif kerana dilengkapi tri-kamera, bateri lebih besar dan pengecasan jauh lebih pantas.

Pro

  • Rekaan kompak premium sangat selesa dalam tangan.
  • Perisian Android paling suci murni.
  • Kemampuan kamera Pixel yang terkemuka.
  • Sokongan perisian selama 7+7 tahun.
  • Kalis air dan debu IP68.
  • Ketahanan bateri yang baik.

Kontra

  • Pengecasan hanya 23W yang adalah perlahan untuk peranti moden.
  • Android asli bukan untuk semua.
  • Hanya ada dua kamera utama di belakang.
Skor Google Pixel 9a



Source link