Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh berkata Tengku Zafrul Abdul Aziz seharusnya turut melepaskan jawatan menterinya selepas membuat keputusan untuk keluar daripada Umno untuk menyertai PKR.
Menerusi hantaran di Facebook, Akmal berkata ahli Umno “terlalu gembira” dengan langkah Zafrul tersebut, dan menyatakan dia pada asalnya menyertai parti itu tanpa diundang.
“(Zafrul) sepatutnya letak jawatan menteri sekali.
“Dan kepada PKR, semoga boleh menerima permohonan masuk Tengku Zafrul dan ia boleh menjadi bukti betapa ‘setianya’ persahabatan antara Umno dan PKR.
“Orang Umno terlalu gembira dengan berita ini. Datang tak diundang, pergi pun tak dikesali,” kata Akmal.
Zafrul yang merupakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri hari ini memaklumkan dia telah mengemukakan surat peletakan jawatan kepada Umno dan menyatakan hasratnya untuk menyertai PKR.

Zafrul yang merupakan seorang senator berkata keputusan itu tidak dibuat dengan mudah dan dia telah mendapatkan pandangan serta nasihat daripada rakan-rakan di luar mahupun dalam Umno, termasuk presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi.
“Pada hari ini, saya telah menghantar surat peletakan jawatan saya kepada pucuk pimpinan Umno.
“Di dalam surat tersebut, saya telah menyatakan keputusan saya untuk meletakkan jawatan sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi, Ketua Umno Kota Raja dan ahli Umno,” katanya.
Dia berkata ia bukan keputusan yang mudah memandangkan dia telah menjadi ahli Umno sejak 1997.
Zafrul turut memaklumkan dia telah menyampaikan hasratnya untuk menyertai PKR kepada presiden parti itu, Anwar Ibrahim dan setiausaha agungnya, Fuziah Salleh.
Khabar angin rombakan kabinet
Perkembangan ini berlaku di tengah spekulasi baharu mengenai rombakan kabinet, selepas dua menteri daripada PKR – Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar Nik Nazmi Nik Ahmad – meletakkan jawatan mereka.
Spekulasi mengenai rombakan kabinet turut timbul berikutan pemilihan DAP dan PKR yang telah dilaksanakan pada tahun ini.
Ini kerana tempoh jawatan Zafrul sebagai senator tamat pada pertengahan Disember setelah berkhidmat selama dua penggal, iaitu tempoh maksimum untuk seseorang menjadi senator.
Pada Disember lalu, Anwar mengesahkan ada perbincangan dalam PKR berkenaan hasrat Zafrul untuk menyertai parti itu.
Namun, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata parti itu tidak akan membenarkan amalan lompat parti dalam kalangan anggota kerajaan perpaduan.
Pada 10 Februari, Zafrul berkata dia akan berbincang terlebih dahulu dengan Zahid sebelum membuat keputusan. Ketika itu, Zahid menasihatinya agar tidak terburu-buru meninggalkan parti untuk menyertai PKR.
Selepas itu, Zafrul menyatakan komitmennya terhadap Umno dan menegaskan fokusnya ketika itu adalah tugasnya sebagai menteri.