Amerika Dijangka Mengharamkan Dron Buatan China Seawal Minggu Depan
May 31, 2025
•
Effi Saharudin
Amerika Syarikat dijangka akan mengharamkan jualan dan operasi dron buatan China seawal minggu depan menurut laporan Washington Post. Menurut sumber dalaman, pentadbiran Trump sedang menyiapkan draf arahan eksekutif yang mengharamkan jualan dron buatan China seperti DJI dan Autel atas sebab keselamatan negara.
Sejak tahun lalu beberapa usaha telah dilakukan untuk mengharamkan dron buatan China kerana pengeluar didakwa berkongsi data GPS dan kamera dengan Parti Komunis China. Atas sebab yang sama, penggunaan dron DJI telah diharamkan untuk anggota tentera, polis, bomba dan agensi SAR.

Pengharaman dilakukan dengan tidak meluluskan lesen kelengkapan radio nirwayar yang digunakan untuk mengawal dron. Tanpa kelulusan ini dron baharu tidak boleh dipasarkan dan sekiranya diimport secara haram sekalipun pemilik boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Arahan eksekutif ini juga akan memperkasakan industri dron tempatan dengan kerajaan persekutuan untuk lebih aktif menyokong pembuat dron di Amerika Syarikat. Sejak DJI memasuki pasaran Amerika Syarikat, syarikat tempatan tidak mampu bersaing kerana harga jualan lebih rendah serta kemampuan yang lebih tinggi.
Tindakan pentadbiran Trump mengharamkan dron buatan China dijangka menerima sokongan positif pemain industri tempatan yang sudah lama meminta kerajaan persekutuan untuk campur tangan disebabkan ancaman syarikat luar lebih-lebih lagi selepas Skydio, syarikat dron dari Califronia dikenakan sekatan oleh China kerana membekalkan dron kepada Taiwan tahun lalu.
Komen
Dengan menghantar komen, anda setuju dengan terma pengunaan AmanzMe.