Malaysia Oversight

Impian PH rampas Merotai tidak kesampaian

By Utusan in November 30, 2025 – Reading time 1 minute
Impian PH rampas Merotai tidak kesampaian


TAWAU: Harapan Pakatan Harapan (PH) untuk merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai tidak kesampaian apabila calonnya, bekas Ketua Setiausaha (KSU), Datuk Ruji Ubi, tewas dalam saingan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 malam ini.

Dalam keputusan rasmi yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), penyandang kerusi, Sarifuddin Hatta daripada Parti Warisan, berjaya mempertahankan mandat dengan majoriti selesa sebanyak 4,016 undi, sekali gus menepis cabaran hebat daripada bekas pegawai itu.

Sarifuddin memperoleh 8,855 undi, menewaskan Ruji yang meraih 4,839 undi, manakala dua lagi pencabar, Hassan Haris (Perikatan Nasional) menerima 1,277 undi dan Rhyeme @ Reymie Kassim (Parti Impian Sabah) sekadar mendapat 231 undi.

Pertembungan di Merotai sejak awal kempen menjadi tumpuan ramai dengan reputasi Ruji sebagai bekas pegawai kanan dijangka memberi kelebihan kepada PH.

Namun, kekuatan jentera akar umbi Warisan serta rekod khidmat Sarifuddin sebagai wakil rakyat selama dua penggal sejak 2018 ternyata menjadi faktor penentu yang terus memikat keyakinan pengundi.-UTUSAN





Source link