Tuala Wanita Pintar Dibangunkan Bagi Mengesan Penyakit Seperti Kanser Lebih Awal
May 28, 2025
•
Effi Saharudin
Kita hidup dalam dunia pelbagai produk kini dipintarkan sedangkan manusia pula dinyahpintar kerana terlalu bergantung kepada teknologi. Ini tidak bermakna usaha pemintaran produk kegunaan harian perlu dihentikan. Penyelidik dari ETH Zurich telah membangunkan tuala wanita pintar MenstruAI yang boleh digunakan bagi mengesan pelbagai jenis penyakit dengan lebih awal.

Sudah lama darah digunakan untuk menjejak kemunculan penyakit menerusi bacaan biomarker. Tuala wanita pintar yang dibangunkan berkemampuan mengesan penyakit-penyakit berbahaya seperti kanser ovari, kanser serviks dan endometriosis dengan mengesan biomarker protein dalam darah haid. Kerana haid berlaku sebulan sekali, ia boleh mengesan perubahan biomarker tubuh dengan kekerapan yang konsisten.
Pada ketika ini tuala wanita pintar ini mempunyai kemampuan mengesan Protein C-reaktif (CRP) sebagai penanda keradangan umum, biomarker CEA yang meningkat disebabkan semua jenis kanser, dan protein CA-125 yang meningkat disebabkan oleh endometriosis dan kanser ovari. Lebih banyak lagi pengesanan biomarker akan ditambah penyelidik pada tuala wanita ini bagi menjejak kesihatan tubuh.

Tuala wanita pintar ini diilhamkan oleh kit ujian Covid dengan air liur digantikan dengan darah. Jalur ujian yang diletakkan pad tuala wanita akan berubah warna apabila berinteraksi dengan biomarker dalam darah haid. Keterangan warna berbeza akan diberikan dan oleh itu gambar tuala wanita perlu diambil dan kemudiannya dianalisa oleh aplikasi khas yang telah dibangunkan.
Ujian di makmal telahpun dilalukan dengan fasa seterusnya ialah menguji MenstruAI ini di dunia sebenar dengan 100 peserta.
Komen
Dengan menghantar komen, anda setuju dengan terma pengunaan AmanzMe.