OnePlus Memperkenalkan Pengecas GaN Padat 100W Dengan Rekabentuk Unik
May 28, 2025
•
Nazrin
OnePlus dijangka akan memperkenalkan peranti terbaru mereka, OnePlus 13S pada awal bulan hadapan, dan selain daripada peranti pintar tersebut, jenama tersebut juga telah memperlihatkan sebuah aksesori pengecasan peranti baru.
Pengecas ini dinamakan OnePlus 100W Compact SuperVOOC GaN Charger dan hadir dengan kemampuan untuk mengecas peranti dengan kuasa pengecasan setinggi 100W. Ia hadir dengan sokongan untuk beberapa teknologi pengecasan, termasuklah SuperVOOC, PowerDelivery, PPS dan QuickCharge 3.0 yang cukup berkuasa untuk bukan sahaja mengecas peranti pintar, tetapi juga komputer riba.

Ia juga dilihat hadir dengan rekaan lebih padat berbanding dengan pengecas OnePlus SuperVOOC 100W sedia ada, menjadikannya lebih mudah untuk dibawa kemana-mana tanpa memakan ruang yang banyak. Ia juga mempunyai palam yang boleh dilipat untuk menjadikannya lebih mesra pengembara.

Secara teknikalnya, pengecas ini juga merupakan pengecas SuperVOOC 100W sama yang ditemui bersama peranti OPPO Find X8, tetapi dengan rekaan warna berbeza. Ia juga tampil dengan kabel 10A yang boleh memanfaatkan kuasa pengecasan penuh 100W pengecas ini.

Buat masa ini, nampaknya pengecas OnePlus 100W Compact SuperVOOC Charger ini hanya dijual di pasaran China buat masa ini pada harga 199 Yuan. Buat masa ini ia masih tidak diketahui lagi jika ia akan ditawarkan di luar pasaran China.
Komen
Dengan menghantar komen, anda setuju dengan terma pengunaan AmanzMe.