Ribut tropika Senyar yang melanda beberapa negeri sejak petang semalam bukan sahaja menyebabkan 49 kes pokok tumbang direkodkan, malah meragut satu nyawa dalam kejadian di Jalan Selandar-Machap, di Melaka awal pagi tadi.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Nor Hisham Mohammad berkata walaupun bukan secara langsung daripada ribut, kematian penunggang motosikal dalam kejadian itu adalah akibat melanggar pokok yang tumbang kesan Senyar.
Katanya secara keseluruhan Negeri Sembilan mencatatkan kesan paling teruk, termasuk masing-masing satu insiden cerun runtuh dan runtuhan struktur, selain dua kes banjir.
“Negeri Sembilan juga merekodkan 33 kes pokok tumbang, diikuti Melaka (lapan), Selangor (lima), Putrajaya (dua) dan Perak (satu),” katanya pada sidang media selepas majlis sambutan Hari Integriti JBPM di Ayer Keroh, hari ini.

Menurut Nor Hisham, meskipun ribut tropika Senyar telah melemah dan diturun taraf kepada sistem cuaca bertekanan rendah, JBPM tetap bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk peningkatan kes pokok tumbang dan cerun runtuh susulan struktur tanah yang lemah akibat hujan berterusan.
Sementara itu, Nor Hisham berkata pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir dinasihatkan supaya melakukan penyelarasan dengan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) bagi memastikan keselamatan semua pihak.

“Kita meraikan peranan NGO dan individu membantu pemindahan serta penghantaran logistik, namun mereka perlu memaklumkan kepada PKOB selain memakai jaket keselamatan.
“Kita bimbang niat untuk membantu boleh mengundang risiko lain.
“Pada masa yang sama, orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak mengunjungi lokasi berisiko termasuk kawasan rekreasi,” katanya.
– Bernama






