NVIDIA Dikatakan Tidak Akan Membekalkan Komponen Memori Untuk Pembuat Kad Grafik Kelak
Nazrin
Proses pembangunan sebuah kad grafik adalah sesuatu yang secara lazimnya tidak begitu rumit. Syarikat seperti NVIDIA akan membekalkan komponen yang secara lazimnya akan terdiri daripada cip grafik dan memori, dua komponen paling penting yang diperlukan untuk membina sebuah kad grafik. Komponen-komponen lain seperti papan litar dan cip VRM secara lazimnya boleh didapati oleh syarikat-syarikat pembangun komponen dengan mudah, dan akan direka sendiri oleh mereka.
Terkini, terdapat laporan dan ura-ura yang mengatakan bahawa kelak NVIDIA tidak lagi akan membekalkan komponen memori VRAM kepada pembangun komponen komputer kerana harga cip memori yang kini dilihat melambung tinggi.

Nampaknya NVIDIA juga tidak selamat dari kenaikan harga cip memori, kerana sebelum ini mereka mewajibkan penggunaan memori GDDR yang dipilih oleh mereka sendiri dan dijual bersama-sama untuk memastikan prestasi olahan grafik yang terbaik. Secara teknikalnya ini juga memudahkan tugas banyak jenama pembangun komponen kerana mereka boleh memberi fokus kepada bahagian rekaan dan pengoptimasian prestasi kad grafik.
Isu disini ialah untuk syarikat-syarikat pembuat kad grafik yang tidak begitu dikenali, kerana sebelum ini mereka tidak mempunyai keperluan untuk membeli memori GDDR sendiri. Kini, jika ura-ura NVIDIA tidak lagi membekalkan komponen memori GDDR adalah benar, ia dilihat mustahil untuk syarikat-syarikat lebih kecil untuk membeli komponen tersebut kerana mereka biasanya tidak diendahkan oleh pengeluar-pengeluar memori.
Jika berlarutan, ia tidak mengejutkan untuk melihat lebih banyak jenama kad grafik hilang seperti EVGA apabila mereka membuat keputusan untuk tidak lagi mengeluarkan kad grafik sebelum ini.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.





