Realme GT7 Dream Edition Simbol Jiwa Kelajuan
May 27, 2025
•
Amy Maizuraa
Tidak dapat dinafikan bahawa terdapat pengguna yang gemar menampilkan keunikan peranti mereka. Mereka memilih untuk menghiasinya dengan aksesori, pelekat, atau tema khusus yang mencerminkan minat serta keperibadian masing-masing.

Dalam dunia teknologi, terdapat pelbagai cara untuk menyesuaikan peranti mengikut citarasa individu, sama ada melalui kerangka pelindung, tema eksklusif atau ciri khas yang ditawarkan oleh pengeluar. Namun, sesuatu yang lebih istimewa terhasil apabila pengeluar secara rasmi melancarkan edisi khas dengan sentuhan gaya premium seperti yang dilakukan oleh Realme menerusi GT7 Dream Edition.
Ini merupakan kali kedua saya berpeluang melakukan pandang pertama bagi edisi istimewa sebegini, selepas sebelum ini mengulas model Realme GT3 Naruto Edition. Peranti ini bukan sekadar untuk komunikasi semata-mata, malah berfungsi sebagai medium ekspresi gaya yang mencerminkan identiti serta keunikan pemiliknya.
Rekaan Dan Konsep
Realme GT7 Dream Edition | |||
---|---|---|---|
Skrin | 6.78 FHD+ AMOLED, 120Hz | 120Hz, HDR10+, Dolby Vision, | 6000 nits (~450 ppi) |
Pemproses | Mediatek Dimensity 9400e (4 nm) | ||
Cip | 1×3.4 GHz Cortex-X4 | 3×2.85 GHz Cortex-X4 | 4×2.0 GHz Cortex-A720 |
Cip Grafik | Immortalis-G720 MC12 | ||
RAM | 16GB RAM | ||
Muatan Dalaman | 512GB | (tiada kad mikroSD) | |
Kamera Utama | 50 MP, (lebar), PDAF | 50 MP, (telefoto) | 8 MP (ultra-lebar) |
Kamera Depan | 32 MP, f/2.5 | 1080p@30/60fps | |
Bateri | Si/C Li-Ion 7000 mAh | 120W berwayar | 7.5W berbalik |
SIM/Telefoni | Dwi SIM Nano | ||
NFC | Ya | ||
Infra Merah | Ya | ||
Kalis Air | IP68/69 | ||
Sistem Imbasan | Imbasan cap jari | Imbasan wajah | |
Harga Jualan | RM2,999 |
Dalam dunia automotif, Aston Martin sinonim dengan kemewahan, prestasi, dan ketelitian dalam reka bentuk. Edisi khas ini direka dengan inspirasi daripada perlumbaan Formula One bagi menampilkan bentuk yang menyerupai aliran udara pantas untuk meningkatkan kecekapan dan prestasi. Bahagian belakang peranti diperbuat daripada bahan berkualiti tinggi dengan garisan aerodinamik, iaitu reka bentuk yang membantu aliran udara bergerak dengan lebih baik di permukaan sesuatu objek.

Dalam konteks peranti ini, garisan aerodinamik tersebut berfungsi untuk meningkatkan kestabilan sambil memberikan rupa yang lebih moden serta bergaya. Reka bentuk ini bukan sahaja menggambarkan kelajuan dan semangat perlumbaan di litar, tetapi juga memberi kesan terhadap keseimbangan serta pengalaman penggunaan yang lebih baik. Sewaktu dipegang garisan-garisan pada permukaan peranti terasa jelas dengan tekstur unik yang membantu memastikan pegangan lebih selesa dan stabil.

Kemasan pusam berkilat yang digunakan memberikan rasa lembut serta selesa ketika dipegang, seakan-akan fabrik baldu. Walaupun berbeza daripada versi standard yang dilengkapi teknologi IceSense Graphene, kedua-duanya tetap menawarkan tahap keselesaan yang baik dalam kelasnya. Dengan reka bentuk tepi yang rata serta sudut melengkung, peranti ini memberikan cengkaman yang stabil dan selesa di tangan. Ia mudah dipegang dan sesuai untuk penggunaan dalam jangka masa panjang sekaligus meningkatkan pengalaman penggunaan secara keseluruhan.

Seterusnya, lambang ikonik Silver Wing Aston Martin dihasilkan semula melalui proses ukiran tiga lapisan, dengan setiap alur halus sedalam 0.1mm. Menurut Realme, ia bagi melambangkan hasil kerja yang dibuat dengan sangat teliti serta warisan kemewahan British yang kekal sepanjang zaman. Selain itu, penjenamaan kedua-dua pihak turut diukir pada bahagian belakang peranti bagi mencerminkan kerjasama mereka serta untuk memberikan elemen identiti yang unik kepada reka bentuk ini.

Warna Aston Martin Green, yang berasal daripada litar perlumbaan, dihasilkan melalui lima lapisan cat serta ratusan proses penyesuaian bagi memastikan ketepatan yang diinginkan. Ia bukan sekadar warna, tetapi suatu warisan yang dipercayai serta dihormati bagi melambangkan kehebatan dalam reka bentuk serta sejarah jenama ini.

Bonggol kamera pada model ini mengalami perubahan dengan reka bentuk lebih kecil dan tidak lagi serong seperti versi standard. Ia hadir dalam bentuk segi empat tepat biasa dengan hiasan keemasan pada setiap sudut lensa serta bonggolnya.
Walaupun sedikit tebal, reka bentuk ini tetap memastikan keseimbangan yang baik. Selain itu, perubahan pada penjenamaan HyperImage+ juga jelas, dengan model kali ini direka lebih kecil dan kurang menonjol jika dibandingkan dengan versi standard. Bingkai peranti hadir sepenuhnya dalam warna hijau yang sepadan dengan tubuhnya bagi mencipta kesan yang seragam dan elegan.

Susun atur butang pada GT7 Dream Edition masih mengekalkan ciri standard seperti model GT7. Butang kuasa dan laras audio diletakkan di bahagian kanan bagi memudahkan akses semasa penggunaan. Selain itu, butang kuasa berwarna kuning bukan sahaja menambah sentuhan eksklusif pada reka bentuk peranti, tetapi juga serasi dengan warna hijau tubuhnya untuk keseimbangan reka bentuk yang menarik.
Bahagian sisi kiri peranti tidak mempunyai butang atau slot tambahan. Di bahagian atas, terdapat sensor infra merah dan lubang mikrofon untuk pelbagai kegunaan. Peranti ini turut menyokong sistem pembesar suara stereo, dengan salah satu pembesar suara terletak di bahagian bawah bersebelahan port USB-C dan slot SIM. Selain itu, ia turut dilengkapi dengan penarafan kalis air IP69 bagi perlindungan tambahan terhadap debu dan air.
Spesifikasi Dan Prestasi
Realme GT7 Dream Edition mengekalkan spesifikasi yang sama seperti model Realme GT7. Ia masih hadir dengan paparan LTPO AMOLED 6.78 inci yang menyokong kadar segar semula 120Hz. Skrin yang cantik dipadankan dengan kecerahan yang boleh mencapai 6000nits bersama HDR10+ dan Dolby Vision.

Ia juga dikuasai oleh cip Mediatek Dimensity 9400e, peranti menawarkan peningkatan dari segi memori dengan kapasiti lebih besar sehingga 16GB RAM serta storan dalaman 512GB. Selain itu, ia menjalankan Realme UI 6.0 berasaskan Android 15 untuk memastikan animasi yang responsif dan pengalaman penggunaan yang lancar.
Seperti edisi istimewa lain, peranti ini hadir dengan beberapa keunikan tersendiri. Antaramuka lalainya menggunakan warna hijau sepenuhnya, termasuk gambar latar dan ikon, memberi identiti khas yang sepadan dengan tema Aston Martin. Selain itu, logo Aramco dan ikon Aston Martin tertera jelas di muka hadapan, menonjolkan elemen jenama yang eksklusif.

Ikon khas direka supaya sepadan dengan gaya dan karakter kenderaan berprestasi tinggi. UI peranti turut menampilkan elemen Aston Martin, termasuk animasi kuasa hidup yang lancar, kertas dinding yang berubah mengikut keadaan, kesan pengecasan yang memberikan efek pencahayaan khas, serta GT Mode dengan efek visual tersendiri untuk pengalaman yang lebih menarik dan berbeza.

Realme GT7 Dream Edition dilengkapi dengan sistem kamera utama yang terdiri daripada tiga lensa, iaitu lensa utama 50MP, telefoto 50MP, dan ultra lebar 8MP. Dengan teknologi HyperImage+, kamera ini berupaya merakam video sehingga resolusi 8K pada kadar bingkai 30 FPS. Selain itu, kamera hadapan pula hadir dengan sensor sebesar 32MP, sama seperti model Realme GT7.
Keistimewaan edisi ini terletak pada penjenamaan eksklusif Aston Martin Amarco F1 Team Edition, dengan tera air (watermark) khas yang memberikan sentuhan unik pada setiap bingkai rakaman imej dan video.










Apa Ada Di Dalam Kotak?
Dari luar sahaja, keistimewaan GT7 Dream Edition sudah terserlah apatah lagi dengan kelengkapan dalamannya. Koleksi ini hadir dengan kemasan kotak yang eksklusif, menggunakan warna hijau sepenuhnya dengan penjenamaan Aramco dan Aston Martin. Kotak luarnya melindungi satu lagi kotak hitam di dalamnya, menambahkan elemen premium kepada reka bentuk pembungkusannya.

Cara membukanya juga cukup unik untuk sebuah peranti dengan kemasan mewah ini. Beberapa aksesori turut direka semula, termasuk kerangka khas yang memperlihatkan logo Aston Martin pada bahagian tubuhnya. Walaupun reka bentuknya elegan, terdapat kemungkinan ia mudah kotor seperti model GT7 sebelum ini.

Selain itu, pencucuk SIM direka dengan ikon menyerupai kereta bagi melengkapkan elemen automotif yang diketengahkan. Turut disertakan ialah manual pengguna serta sebuah buku edisi khas yang mengisahkan perjalanan pasukan Aston Martin Formula One. Realme Malaysia telah mengesahkan bahawa peranti ini hanya akan ditawarkan dalam jumlah yang terhad.
Kesimpulan

Realme GT7 Dream Edition ialah edisi khas dengan sentuhan premium Aston Martin yang menyasarkan pengguna yang menggemari elemen automotif dalam teknologi mereka. Di Malaysia, peranti ditawarkan pada harga RM2,999 lengkap dengan kotak eksklusif yang menampilkan elemen jenama Aston Martin seperti yang disebutkan tadi. Namun, ketersediaannya adalah terhad menjadikannya lebih eksklusif bagi mereka yang ingin memiliki peranti dengan sentuhan istimewa ini.
Komen
Dengan menghantar komen, anda setuju dengan terma pengunaan AmanzMe.