China Mewajibkan Powerbank Dilengkapi Skrin dan Aplikasi Untuk Menyemak Keselamatan
Effi Saharudin
Tahun ini melihat beberapa syarikat pengeluar powerbank menarik semula beberapa model berikutan risiko kebakaran. Polisi syarikat penerbangan juga mewajibkan powerbank dikeluarkan daripada beg apabila di dalam kabin bagi mengelakkan isu kebakaran berulang.
Terkini, Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat China akan mengeluarkan garis panduan baharu yang memerlukan powerbank bukan sahaja dilengkapi skrin tetapi juga mempunyai sokongan aplikasi bagi tujuan keselamatan.

Piawaian baharu ini akan memintas piawaian 3C yang digunakan (serta dicetak di belakang) setiap powerbank keluaran syarikat China. Dengan skrin terbina tahap caj bateri boleh dilihat lebih tepat berbanding sistem LED. Penggunaan aplikasi pula akan membolehkan pengguna melakukan semakan kitaran hayat pengecasan dan kesihatan bateri.
Pengeluar juga perlu mencetak jangka hayat penggunaan powerbank yang disyorkan dengan tarikh luput. Piawaian akan diterbitkan pada Februari 2026 dan dijangka berkuat kuasa seawal Jun 2026. Keperluan piawaian ini akan mendatangkan impak besar ke atas industri powerbank China dengan dianggarkan 70% pengeluar tidak akan mencapai keperluan yang ditetapkan.
Powerbank dengan LCD sudah mula muncul di pasaran Malaysia sejak tahun lalu dan Anker pula antara yang terawal menawarkan aplikasi untuk powerbank keluaran mereka yang menunjukkan tahap kesihatan bateri.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






