PRK AYER KUNING | Timbalan Presiden MIC M Saravanan menyuarakan keyakinan ke atas kemenangan BN dalam PRK Ayer Kuning, dengan sokongan besar daripada pengundi India sebagai antara faktor utama.
Keyakinan itu di tengah rasa tidak puas hati yang kian meningkat dalam kalangan masyarakat India terhadap kerajaan Madani atas pelbagai isu, dengan ada yang menggesa mereka untuk menunjukkannya di peti undi esok.
Saravanan berkata dengan lebih 2,600 pengundi India dikategorikan sebagai “pengundi putih”, sokongan masyarakat itu terhadap BN kekal teguh.
Kata ahli Parlimen Tapah itu, MIC memberi tumpuan kepada usaha mendapatkan undi ini serta meraih sokongan mereka yang belum membuat keputusan.
Bercakap kepada pemberita selepas bertemu pengundi India di Kampung Ayer Kuning semalam, Saravanan berkata seramai 300 pengundi belum membuat keputusan, manakala 700 lagi belum menyatakan pendirian mereka.
DUN Ayer Kuning adalah kerusi majoriti Melayu dengan seramai 4,603 pengundi India.
“Setakat ini, kami menganggap 2,600 undi sudah ada di dalam tangan dan sedang berusaha membawa pengundi luar,” katanya lagi.
PRK penting buat Saravanan
Ayer Kuning merupakan salah satu daripada dua kawasan DUN dalam Parlimen Tapah, menjadikannya kawasan penting bagi pemimpin MIC itu.
Memandangkan Tapah merupakan kubu kuat Saravanan, penting untuknya membuktikan bahawa dia masih mendapat sokongan padu daripada pengundi India di kawasan tersebut.
Namun, Saravanan kini dilihat tersepit berikutan beberapa isu sensitif yang membabitkan masyarakat India, antaranya pemindahan kuil Hindu berusia 130 tahun di Kuala Lumpur yang menimbulkan kontroversi.
Selain itu, terdapat rasa tidak puas hati yang semakin meningkat dalam kalangan masyarakat India terhadap apa yang dilihat sebagai tiadanya tindakan terhadap pendakwah bebas Zamri Vinoth, walaupun ratusan laporan polis telah dibuat terhadapnya.
Awal minggu ini, Saravanan menulis surat kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim bagi memintanya mengarahkan semua jabatan dan agensi kerajaan tidak menggunakan istilah “kuil haram”.
PRK Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandang dari BN, Ishsam Shahruddin, pada 22 Februari lalu.
Calon BN Yusri Bakir akan berdepan dengan calon PN Abd Muhaimin Malek dan calon PSM Bawani KS.