Pemilik Rumah Kedai Di Sibu Tersadai Dengan Bil Elektrik RM280 Ribu Gara-Gara Pelombongan Kriptowang Haram
Nazrin
Isu kecurian bekalan tenaga elektrik untuk melombong kriptowang secara haram bukanlah sesuatu yang baru di Malaysia. Sebelum ini kami telah melaporkan pelbagai insiden sama yang berlaku di seluruh Malaysia, dan rata-ratanya perkara ini masih akan sentiasa berlaku.
Terkini, ia dilaporkan bahawa satu pasangan suami isteri yang memiliki sebuah rumah kedai di Sibu telah tersadai dengan hutang bil penggunaan bekalan elektrik bernilai RM280 ribu baru-baru ini. Perkara ini berlaku gara-gara sebuah syarikat yang menyewa rumah kedai tersebut telah melakukan kegiatan pelombongan kriptowang secara haram sejak 2024.

Pada penghujung bulan Ogos 2025, mereka telah dikejutkan dengan tunggakan bil elektrik setinggi RM 280 ribu oleh Sarawak Energy yang dilaporkan telah memotong bekalan ke rumah kedai tersebut. Pasangan tersebut mengatakan bahawa mereka tidak tahu menahu tentang perkara tersebut, kerana rumah kedai tersebut hanya disewakan kepada sebuah syarikat sebagai ruang stor sahaja.
Pihak Sarawak Energy mengatakan bahawa bil elektrik tersebut telah dicaj ke pemilik rumah kedai walaupun tiada meter elektrik disambungkan kerana mereka telah mengesan bahawa sambungan terus telah dibuat ke lokasi tersebut. Siasatan lanjut juga mendapati bahawa sambungan ini dibuat secara haram.
Lokasi rumah kedai tersebut telah disewakan selama lebih setahun, tetapi selain daripada sewa sebanyak RM1000 yang ditawarkan, pasangan tersebut mengatakan bahawa mereka tidak mempunyai isu lain sehinggalah bil Sarawak Energy tersebut diterima oleh mereka.
Sarawak Energy juga dilaporkan telah bersetuju untuk mengurangkan angka bil penggunaan tenaga elektrik ke RM98 ribu untuk membolehkan pasangan tersebut membayar bil ini secara ansuran.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






