Malaysia Oversight

Singapura kenakan sekatan terhadap 4 warga Israel

By MkiniBM in November 21, 2025 – Reading time 1 minute
Singapura kenakan sekatan terhadap 4 warga Israel


Singapura akan mengenakan sekatan kewangan bersasar serta larangan kemasukan terhadap empat individu Israel yang terbabit dalam tindakan keganasan terhadap penduduk Palestin di Tebing Barat, berkuat kuasa serta-merta.

Dalam kenyataan pada Jumaat, Kementerian Luar mendedahkan individu berkenaan — Meir Mordechai Ettinger, Elisha Yered, Ben-Zion Gopstein dan Baruch Marzel — terlibat dalam perbuatan ekstremis yang keterlaluan.

“Tindakan sedemikian adalah menyalahi undang-undang serta menjejaskan dan menggugat prospek penyelesaian dua negara,” menurut kenyataan itu.

Singapura turut mengulangi pendiriannya bahawa penempatan Israel di Tebing Barat adalah tidak sah di sisi undang-undang antarabangsa.

“Kehadiran dan peluasan penempatan akan menjadikan usaha mencapai penyelesaian dua negara jauh lebih sukar,” katanya.

Sebagai penyokong teguh undang-undang antarabangsa dan penyelesaian dua negara, Singapura menentang sebarang tindakan unilateral untuk mengubah fakta di lapangan melalui perbuatan yang menyalahi undang-undang antarabangsa, menurut kementerian itu.

Singapura juga menggesa Israel mengekang tindakan keganasan pendatang serta memastikan pelaku dibawa ke muka pengadilan.

– Bernama



Source link