Beberapa hari lalu kami telah melaporkan bahawa Anker telah melancarkan dua buah power bank baru yang boleh digunakan untuk mengecas dua jenis peranti berbeza, iaitu

Baru-baru ini kami telah diberi dua aksesori powerbank tersebut, dan telah berkesempatan untuk mengujinya untuk seketika. Ini adalah pandangan saya mengenai kedua-dua power bank ini.
Anker Nano Retractable Powerbank A1638
Anker Nano Retractable Powerbank A1638 (Anker Nano) hadir dengan rekaan serba padat, tetapi ia juga padat dengan ciri-ciri yang jarang diperlihatkan pada powerbank-powerbank lain. Ia hadir dengan kapasiti bateri 10,000 mAH ataupun 36Whr dan hadir dengan kemampuan pengecasan sepantas 45W.

Dari segi rekaan, ia berbentuk kuboid dan hadir dengan satu kabel pengecasan USB Type-C sepanjang 60cm terbina yang boleh ditarik masuk (retractable) dan satu palam USB 3.2 Type-C dan satu palam USB 3.2 Type-A yang boleh digunakan untuk disambungkan kepada kabel untuk mengecas peranti-peranti lain.

Powerbank Anker Nano ini juga mempunyai paparan skrin terbina yang menunjukkan peratusan bateri yang tinggal, kesihatan dan suhu bateri, berserta nilai Watt pengecasan dan palam yang digunakan untuk mengecas peranti anda.

Dalam pada itu, kabel pengecasan terbina juga digunakan untuk mengecas peranti ini dan hadir dengan kadar pengecasan bateri 30W untuk membolehkan bateri ini dicas dengan lebih pantas. Rekaan powerbank Anker Nano ini juga cukup padat dan boleh dimuatkan didalam beg galas atau beg tangan tanpa memakan begitu banyak ruang.
Anker Laptop Powerbank A1695
Jika anda memerlukan sebuah powerbank yang mempunyai kapasiti yang jauh lebih besar dan boleh mengecas dua komputer riba sekaligus, Anker Laptop Powerbank A1695 (Anker Laptop) adalah pilihan yang lebih sesuai untuk anda.

Ia hadir dengan kapasiti 25,000 mAH ataupun 96Whr dengan kelajuan pengecasan sehingga 165W dan hadir dengan dua kabel pengecasan USB Type-C yang boleh mengecas sehingga 100W. Kapasiti ini mencukupi untuk mengecas sebuah komputer riba Apple MacBook Pro sebanyak 1.3 kali ataupun sebuah peranti Apple iPhone 15 sebanyak 4.5 kali.

Salah satu daripada kabel tersebut hadir dalam rekaan tali strap yang boleh menampung berat kira-kira 19-20kg, dan boleh digunakan untuk mengecas komputer riba dengan kelajuan pengecasan 100W. Ia juga hadir dengan satu lagi kabel USB Type-C yang boleh ditarik masuk sepanjang 30cm, sama seperti apa yang ditawarkan pada Anker Nano.

Dalam pada itu, ia juga mempunyai dua lagi palam pengecasan, termasuklah palam USB Type-A dan USB Type-C yang juga boleh digunakan untuk mengecas peranti-peranti lain, menjadikannya mampu untuk mengecas sebanyak empat peranti sekaligus.

Jika anda mahu mengecas powerbank ini pada kadar yang paling pantas, palam USB Type-C Anker Laptop Powerbank ini boleh mengecas bateri terbina pada kadar 100W jika anda menyambungnya kepada pengecas dan kabel yang menyokong pengecasan pantas tersebut.
Anker Laptop Powerbank ini juga hadir dengan paparan skrin terbina yang memperlihatkan peratusan bateri yang tinggal, kesihatan dan suhu bateri, berserta nilai Watt pengecasan dan palam yang digunakan untuk mengecas peranti anda.

Lebih penting lagi, kedua-dua Anker Nano dan Anker Laptop Powerbank ini hadir dengan pengesahan keselamatan untuk dibawa ke dalam penerbangan. Anker Laptop Powerbank khususnya mempunyai kapasiti bateri 96Whr yang membolehkannya dibawa bersama anda dalam penerbangan, hanya sedikit rendah daripada had 100WHr yang telah ditetapkan syarikat-syarikat penerbangan global.

Pada pendapat saya, kedua-dua powerbank ini memenuhi keperluan yang sedikit berbeza. Anker Nano misalnya sesuai digunakan untuk mengecas peranti pintar sekiranya peranti anda ketandusan bateri pada pertengahan hari, ataupun memerlukan peranti anda untuk tujuan navigasi atau hiburan pada penghujung hari sekiranya anda di luar rumah.
Dengan Anker Laptop Powerbank pula, ia sesuai untuk mengecas semua jenis peranti elektronik yang boleh dicas menggunakan palam USB Type-C tanpa masalah, dari komputer riba ke peranti pintar ke jam pintar, fon telinga, fon kepala dan lain-lain sekaligus.

Apa yang saya paling suka ialah kedua-dua powerbank ini juga mempunyai kadar mengecas bateri dalaman yang pantas. Untuk Anker Nano, ia hadir dengan kadar pengecasan bateri sepantas 30W, manakala untuk Anker Laptop Charger pula, ia boleh dicas sepantas 90-100W.
Ini bermakna kedua-dua powerbank ini boleh dicas dari kosong ke penuh dalam masa sekitar 1 jam 15-20 minit pada tahap kelajuan maksima.

Kehadiran kabel pengecasan terbina dengan kapasiti pengecasan pantas ulang-alik untuk kedua-dua model powerbank ini juga bermakna anda tidak lagi perlu risau anda tertinggal kabel di rumah ataupun penginapan lagi selepas ini.
Jika ada keperluan untuk berkongsi pengecasan dengan orang lain, mereka boleh menggunakan kabel mereka sendiri untuk menyambungkan peranti mereka kepada powerbank anda.

Kedua-dua powerbank Anker Nano Retractable Powerbank 1638 dan Anker Laptop Powerbank 1695 sudahpun mula ditawarkan di pasaran tempatan pada harga RM209 dan RM399 dan boleh dibeli melalui laman jualan rasmi Anker Malaysia di Shopee dan Lazada.






