Roblox Mewajibkan Semakan Umur Untuk Akses Fungsi Sembang
Amy Maizuraa
Roblox memperkenalkan polisi keselamatan baharu dengan mewajibkan semakan umur bagi semua pengguna yang ingin mengakses fungsi sembang. Melalui langkah ini, pengguna perlu mengemukakan dokumen pengenalan diri atau melakukan imbasan wajah sebelum menggunakan ciri tersebut. Polisi ini akan mula dikuatkuasakan di Australia, New Zealand dan Belanda pada Disember sebelum diperluaskan ke pasaran global pada awal tahun hadapan.

Langkah ini juga membolehkan proses sembang mengikut kumpulan umur sekali gus mengehadkan komunikasi antara kanak-kanak dan orang dewasa. Proses semakan umur dilaksanakan melalui teknologi Facial Age Estimation dalam aplikasi Roblox. Menurut Roblox, semua imej yang digunakan dalam proses semakan akan dipadam sebaik sahaja selesai diproses bagi memastikan privasi pengguna terpelihara.

Selepas semakan umur, pengguna akan ditempatkan dalam kumpulan iaitu bawah 9 tahun, 9–12, 13–15, 16–17, 18–20 dan 21+. Mereka hanya dibenarkan bersembang dengan kumpulan umur yang sama atau berdekatan seperti yang ditetapkan. Pengecualian diberikan melalui fungsi Trusted Connections yang membolehkan interaksi dengan ahli keluarga atau kenalan rapat.
Selain itu, semakan umur akan diwajibkan untuk akses pautan media sosial dan kolaborasi pencipta kandungan dalam Roblox Studio pada awal tahun depan. Langkah ini melengkapkan lebih 145 polisi keselamatan sejak Januari 2025 sekali gus memastikan pengalaman komunikasi yang lebih selamat dan sesuai mengikut umur.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






