Persatuan Teoh Beng Hock untuk Kemajuan Demokrasi menggesa lima menteri daripada DAP meletak jawatan sebagai tanda protes terhadap keputusan Jabatan Peguam Negara mengklasifikasikan kematian Beng Hock sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Pengerusi persatuan itu, Ng Yap Hwa berkata para menteri terbabit – Anthony Loke, Gobind Singh Deo, Nga Kor Ming, Sim Chee Keong, dan Hannah Yeoh – perlu mengambil tanggungjawab bagi pihak parti itu kerana gagal menunaikan janji untuk menegakkan keadilan untuk Beng Hock.
“Persatuan Teoh Beng Hock untuk Kemajuan Demokrasi percaya bahawa pemimpin DAP tidak seharusnya berselindung di sebalik alasan tanggungjawab bersama Kabinet tanpa mengambil sebarang tindakan.
“Politik adalah seni segala mungkin, dan DAP boleh menggunakan kekuatannya sebagai parti terbesar dalam gabungan pemerintah untuk mendesak agensi penguatkuasaan agar membongkar kebenaran dan menegakkan keadilan untuk Beng Hock,” kata Ng dalam satu kenyataan.
Loke, yang kini merupakan Setiausaha Agung parti, bertanggungjawab menganjurkan majlis memperingati mendiang Beng Hock ketika memegang jawatan Ketua Pemuda.
Semalam, adik perempuan Beng Hock, Teoh Lee Lan, mengecam siasatan terbaru dengan menyatakan ia mengulang teori lama bahawa abangnya bunuh diri, tanpa menyiasat kemungkinan dibunuh.

Pada Khamis (22 Mei), dia berkata keputusan mengklasifikasikan kematian abangnya sebagai NFA (tiada tindakan lanjut) tidak selaras dengan janji-janji yang pernah dibuat Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Pada tahun 2009, Beng Hock, pembantu kepada Adun Seri Kembangan ketika itu, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati selepas disoal siasat semalaman di pejabat SPRM Selangor yang ketika itu beroperasi di Plaza Masalam, Shah Alam.
Suruhanjaya Siasatan Diraja pada tahun 2011 memutuskan bahawa mendiang didorong untuk membunuh diri akibat sesi soal siasat yang agresif, namun Mahkamah Rayuan pada tahun 2014 memutuskan bahawa kematiannya disebabkan atau dipercepatkan oleh perbuatan salah laku, termasuk kemungkinan daripada pegawai SPRM sendiri.
Dalam kenyataannya, Ng berkata menteri-menteri DAP juga bertanggungjawab terhadap keputusan NFA itu mengikut prinsip Westminster mengenai “tanggungjawab kolektif” yang mengikat semua anggota kabinet.

“Para menteri mungkin akan merujuk prinsip tanggungjawab kolektif kabinet Westminster yang menyatakan bahawa anggota kabinet tidak boleh secara terbuka mempersoalkan dasar kerajaan.
“Namun, lima menteri DAP juga perlu memahami bahawa tanggungjawab kolektif bermakna mereka turut bertanggungjawab terhadap keputusan pihak polis yang mengklasifikasikan kes ini sebagai ‘tiada tindakan lanjut’ dan keputusan Peguam Negara bahawa tiada bukti mencukupi untuk pendakwaan,” katanya.
Kecewa sikap membisu DAP
Dia turut meluahkan kekecewaan terhadap sikap membisu pemimpin kanan DAP termasuk Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng, yang sebelum ini begitu lantang menuntut keadilan dalam kes Beng Hock.
Katanya, parti itu sebelum ini berulang kali berikrar dalam pelbagai acara untuk menegakkan keadilan bagi Beng Hock sebaik sahaja mereka mengambil alih tampuk pentadbiran di peringkat persekutuan.
“Kami mendesak DAP agar memecahkan kebisuan ini dan menjunjung prinsip kebertanggungjawaban serta ketelusan yang telah lama mereka perjuangkan dengan memberikan penjelasan terbuka kepada keluarga mendiang berhubung pendirian politik mereka terhadap hasil siasatan kes ini,” katanya.
Pada Khamis (22 Mei), peguam Ramkarpal Singh — yang juga Ahli Parlimen DAP dan adik kepada Gobind — mempersoalkan keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC), sambil menegaskan bahawa keluarga Beng Hock tidak dimaklumkan secara langsung dan sebaliknya hanya menerima makluman melalui pihak polis.
Pada 20 Mei, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) telah menulis kepada Ramkarpal untuk memaklumkan keputusan AGC, yang menurut polis telah dibuat pada 19 Mei.

Pada 21 Nov tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan polis melengkapkan siasatan kes kematian Beng Hock dalam tempoh enam bulan selepas Hakim Mahkamah Rayuan, Wan Ahmad Farid Wan Salleh, membenarkan permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh ibu bapa mendiang.
Semasa pentadbiran kali pertama PH di Putrajaya di bawah pimpinan perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad, kabinet telah bersetuju untuk membuka semula siasatan terhadap kematian Beng Hock.
Sebelum siasatan dibuka semula, dua pasukan penyiasat khas telah ditubuhkan pada tahun 2011 dan sekali lagi pada tahun 2015. Namun, kedua-dua siasatan itu juga diklasifikasikan sebagai NFA.