Malaysia Oversight

Bukan salah artis sepenuhnya, kata persatuan

By MkiniBM in November 18, 2025 – Reading time 3 minute
Bukan salah artis sepenuhnya, kata persatuan



Dua persatuan dalam industri hiburan berpandangan kumpulan wanita, Dolla tidak seharusnya dipertanggungjawabkan sepenuhnya berkenaan isu pemakaian dalam video muzik terbaru mereka yang didakwa terlalu seksi.

Mengakui unsur yang dilihat bercanggah dengan norma tempatan wajar dielakkan, Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) dan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) berkata keputusan berkenaan muzik video bukan dibuat sepenuhnya oleh artis.

Pengurus besar Karyawan, Ahmad Abdullah berkata dalam produksi muzik, keputusan mengenai pakaian dan gaya lazimnya dibuat oleh pihak penerbit atau produksi.

“Tidak wajar untuk meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada kumpulan tersebut. Aspek wardrobe ditentukan oleh pihak produksi, dan kadangkala kurangnya kepekaan mereka boleh menyebabkan berlaku perkara yang tidak disengajakan,” katanya kepada Malaysiakini.

Pada masa sama, dia berkara walaupun budaya pop global membawa pengaruh besar terhadap gaya dan ekspresi seni, penyesuaian dengan adat dan budaya tempatan tetap perlu diutamakan.

Dia menyambut baik teguran Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Na’im Mokhtar berkenaan perkara itu dan menyifatkan tindakan Universal Music Malaysia untuk menurunkan video muzik tersebut sebagai langkah tepat.

89ddb9b0bda9358603d6e85557597eac
Na’im Mokhtar

Ia bagi meredakan situasi dan mengelakkan isu tersebut daripada berlarutan, kata Ahmad lagi.

Terdahulu, video muzik kumpulan Dolla untuk lagu bertajuk Question diturunkan susulan teguran daripada sejumlah pihak, termasuk Na’im.

Dalam video berkenaan, kumpulan itu kebanyakannya memakai halter neck top dengan bahagian badan berpotongan korset dipadankan dengan skirt mini manakala dalam satu babak lain mereka mengenakan pakaian yang menampakkan bahu dan bahagian perut.

Na’im antara lain menyifatkan pemakaian mereka tidak sesuai dan tidak menghormati sensitiviti budaya dan agama, dan malah mencadangkan untuk mempertimbangkan tindakan undang-undang syariah terhadap ahli kumpulan yang beragama .

Dolla dianggotai Sabronzo (Wan Sabrina Wan Rusli), Tabby (Tabitha Ariel Lam) dan Angel (Angelina Chai Ka Ying).

Teguran Na’im bagaimanapun dibantah peguam, Latheefa Koya yang berkata dia tidak seharusnya membuat “ugutan” sedemikian dan tiada kuasa untuk menyiasat atau mendakwa rakyat.

Sementara itu, Presiden Seniman, Rozaidi Abdul Jamil atau lebih dikenali sebagai Zed Zaidi, turut berkata artis tidak wajar dipersalahkan sepenuhnya.

289ce666fcf45d7d2538798ecad4da45
Zed Zaidi

“Artis tidak boleh dipersalahkan seratus peratus. Yang sepatutnya bertanggungjawab ialah pihak produksi kerana mereka lebih arif tentang undang-undang dan garis panduan ,” katanya kepada Malaysiakini.

Namun, dia juga menegaskan pihak artis juga perlu lebih memahami sensitiviti.

“Perkara seperti ini boleh mencemarkan imej industri kreatif. Artis perlu sedar bahawa di Malaysia ada sensitiviti yang perlu dijaga, terutamanya bagi artis beragama .

“Penggiat seni perlu peka terhadap sensitiviti ini. Berkaryalah dengan cara kita, cara Malaysia, sambil menjaga perpaduan melalui industri kreatif yang mempunyai identiti negara kita sendiri,” katanya lagi.

Cerminan norma masyarakat

Ditanya jika isu ini menandakan industri hiburan semakin konservatif, Zed Zaidi menolak pandangan tersebut dan menyifatkannya sebagai refleksi norma masyarakat Malaysia yang mempunyai identiti budaya yang perlu dihormati.

“Ini bukan isu konservatif. Ini norma Malaysia. Kita ada cara kita sendiri yang membezakan kita daripada negara lain,” katanya.

Katanya lagi, kebebasan berkarya boleh diraikan selagi ia disesuaikan dengan nilai tempatan dan sensitiviti masyarakat majmuk.

Sentimen sama disuarakan Ahmad, yang berkata keseimbangan antara kreativiti dan nilai budaya tempatan amat penting agar industri kreatif terus berkembang tanpa mengabaikan keharmonian sosial.

“Artis dan pihak produksi harus bijak memilih elemen yang tidak menimbulkan kontroversi,” katanya lagi.



Source link