Malaysia Oversight

‘Arwah sering meracau, cakap tak sampai hati nak tinggalkan saya’

By Utusan in November 18, 2025 – Reading time 2 minute


GEORGE TOWN : “Arwah suami pernah cakap kepada saya. Dia kata: ‘Mama, ramai sangat yang ‘ligan’ (kejar) papa’. Papa tak tahu nak pi (pergi) mana dah. Lepas itu, dia menangis dan cakap yang dia tak sampai hati nak tinggalkan saya.”

Itu antara kata-kata terakhir daripada Elmi Nu Zamani Aizat Azim, 25, kepada isterinya, Nurul Natasha Amyra Ishak, 19, sebelum dia dijumpai lemas selepas terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang, kelmarin.

Nurul Natasha ketika ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pulau Pinang (HPP) berkata, arwah suaminya itu mula meracau sejak dua minggu lalu iaitu selepas mereka pulang dari Kuala Lumpur.

Katanya, disebabkan itu, mereka sekeluarga kemudian berpindah dari Padang Serai, Kedah ke rumah ibunya yang terletak di Bertam, Kepala Batas dekat sini sejak minggu lepas selain berusaha untuk membawa arwah mendapatkan rawatan bagi mengubati penyakitnya secara perubatan .

“Sebab itulah kami minta tolong supaya jangan buat andaian sendiri sebab ‘hampa’ (kamu) tak duduk di tempat kami. Arwah sendiri pun tak pernah cerita masalah sebenar dia termasuk kepada saya. Jadi, saya memang terkejut apabila jadi macam ini (dijumpai lemas selepas jatuh jambatan),” katanya.

Tambah Nurul Natasha, dia bagaimanapun reda dengan ketentuan Ilahi dan akan menjaga amanah yang ditinggalkan oleh suaminya termasuk anak ketiga mereka yang bakal dilahirkan tidak lama lagi.

Terdahulu, mayat Elmi Nu Zamani dijumpai dalam keadaan terapung berhampiran sebuah jeti di Pengkalan Weld di sini, kira-kira pukul 9.35 pagi tadi selepas operasi mencari dan menyelamat pemuda itu dilakukan selama hampir 40 jam.

Dalam pada itu, ibu kepada arwah iaitu Arni Sabrina Yahya, 46, menyifatkan anaknya seorang yang baik dan amat menyayangi keluarganya.

“Jadi, kepada mereka yang suka cakap lebih kurang atau cerita macam-macam, dia (arwah) tak ada apa-apa masalah pun dengan isteri dia,” katanya yang memberitahu, anaknya itu juga ada berpesan kepadanya supaya menjaga diri beberapa hari sebelum kejadian.-UTUSAN





Source link