
Selangor Dijangka Mula Menggunakan Tenaga Nuklear Dalam Masa Lima Tahun
Nazrin
Penggunaan tenaga nuklear untuk memperkasakan bekalan elektrik di Malaysia adalah satu topik yang sering diperdebatkan, dengan baru-baru ini kerajaan pusat juga mengatakan bahawa mereka akan mempertmbangkan penggunaan tenaga nuklear di Malaysia tidak lama lagi.
Hari ini, kerajaan Selangor melalui Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari telah memberitahu Dewan Undangan Negeri dan mengatakan bahawa kerajaan pada masa ini sedang dalam proses untuk membina pengetahuan dan kepakaran untuk memanfaatkan teknologi tenaga nuklear di negeri ini.
“Kami memberi tumpuan kepada pembinaan kapasiti, termasuk menghantar pegawai yang terlatih dalam bidang berkaitan nuklear,” katanya menjawab soalan Mariam Abdul Rashid (PH-Meru).
Kerajaan negeri juga akan berunding dengan universiti tempatan seperti Universiti Kebangsaan Malaysia untuk kolaborasi tentang pengenalan subjek-subjek berkaitan pembangunan dan kepakaran dalam bidang tenaga nuklear.
Datuk Seri Amirudin Shari mengatakan bahawa beliau telah berbincang juga dengan sejumlah pelajar Malaysia di Universiti Tsinghua dan mendapati bahawa tenaga nuklear merupakan sebuah topik yang dilihat sebagai “taboo” untuk diperkatakan, dan oleh itu, mereka yang berminat dengan bidang tersebut tiada pilihan selain dari keluar dari Malaysia untuk mempelajari tentangnya.
Beliau mengatakan lagi bahawa peralihan kepada tenaga mampan dan nuklear adalah sesuatu yang perlu dimulakan kerana negeri tidak lagi boleh terus bergantung kepada bekalan tenaga fosil seperti gas, petroleum dan arang kerana sumber tersebut akan lupus apabila tiba masanya kelak.
Menurut laporan, ia dijangka bahawa kerajaan Selangor akan cuba untuk menggunakan tenaga nuklear sebagai sumber tenaga mampan dalam masa lima tahun lagi.
The Sun
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






