Pelancaran iPhone Mercu dan iPhone Mampu Milik Akan Dipisahkan Bermula 2026
Effi Saharudin
Secara lazimnya Apple melancarkan model iPhone baharu pada musim luruh iaitu September dengan model mercu iPhone Pro dan iPhone mampu milik dilancarkan serentak. Tetapi bermula tahun depan, pelancaran dua model ini akan dipisahkan menurut laporan Mark Gurman di Bloomberg.

iPhone 18 Pro, iPhone 18 Pro Max dan sebuah iPhone lipat diramalkan dilancarkan pada musim luruh 2026. Kemudian 6 bulan selepas itu – iPhone 18, iPhone 18e dan iPhone Air 2 akan dilancarkan pula pada musim bunga 2027.
Pelancaran dalam dua tingkap berbeza ini akan meringankan beban ke atas rantaian bekalan kerana tidak semua peranti perlu dilancarkan serentak bersama dengan Apple Watch baharu seperti sekarang. Ia juga akan mengelakkan jualan model Pro berkurangan kerana terdapat pilihan untuk model bukan Pro dan pada waktu yang sama memastikan pendapatan syarikat konsisten sepanjang tahun.
Ini ialah taktik yang sudah lama dilakukan oleh pengeluar China seperti Xiaomi, Vivo dan Oppo yang menyebarkan pengenalan model baharu sepanjang tahun.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.





