Malaysia Oversight

Kebergantungan sektor awam jejaskan peluang kerja graduan

By MkiniBM in May 25, 2025 – Reading time 4 minute
malaysiakini logo


Satu analisis input-output mendedahkan bahawa perbelanjaan adalah faktor utama mendorong permintaan terhadap tenaga kerja di Malaysia, iaitu merangkumi sebanyak 47.1 peratus.

Angka ini jauh lebih tinggi berbanding perbelanjaan swasta (14.5 peratus), pelaburan (17.6 peratus) dan eksport.

Analisis input-output ialah kaedah ekonomi yang digunakan untuk meneliti pergerakan barangan dan perkhidmatan antara sektor-sektor dalam sesebuah ekonomi.

Laporan oleh Centre for Future Studies Berhad (The Future) menekankan peranan tidak seimbang sektor awam dalam menyerap tenaga kerja, terutamanya dalam kalangan graduan.

Walaupun ini mungkin membantu mengurangkan angka pengangguran, ia juga menunjukkan kebergantungan yang membimbangkan terhadap pekerjaan yang dipacu .

Laporan tersebut memberi amaran bahawa model ini semakin tidak mampan disebabkan tekanan fiskal yang meningkat dan sekatan yang ketat terhadap pengambilan pekerja di sektor awam.

“Sebaliknya, sumbangn terhad terhadap permintaan buruh daripada sektor swasta dan luar negara mencerminkan keadaan struktur yang lemah bagi penciptaan pekerjaan berkualiti tinggi. Ini mencerminkan tahap inovasi yang suram, peningkatan industri yang terhad, serta permintaan domestik yang terhad terhadap peranan bertaraf graduan.

“Tanpa permintaan yang lebih kukuh daripada sektor swasta terhadap bakat berkemahiran tinggi, Malaysia berisiko terperangkap dalam kitaran di mana peluang pekerjaan untuk graduan mencukupi dari segi jumlah, tetapi lemah dari segi kualiti — sekali gus mengekang pertumbuhan gaji dan peningkatan produktiviti jangka panjang,” menurut laporan The Future.

e5a0757b80cac628fc435659e021a772

Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan pada Jumaat lalu bahawa pasaran buruh negara kekal berdaya tahan pada suku pertama 2025, dengan tenaga buruh mencecah 17.23 juta dan kadar pengangguran kekal stabil pada 3.1 peratus.

Dalam laporan Sorotan Pasaran Buruh Suku Pertama 2025 (LMR ST1 2025), agensi itu menyatakan bahawa tenaga buruh tempatan meningkat sebanyak 458,700 berbanding tempoh sama tahun lalu (ST1 2024: 16.77 juta), disokong oleh peningkatan tahunan sebanyak 3.0 peratus dalam jumlah individu bekerja, yang meningkat kepada 16.70 juta.

Kadar penyertaan tenaga buruh juga meningkat kepada 70.7 peratus (ST1 2024: 70.5 peratus), manakala bilangan penganggur menurun kepada 526,300, mengekalkan kadar pengangguran pada 3.1 peratus.

Menurut Ketua Perangkawan, Mohd Uzir Mahidin, permintaan buruh terus meningkat pada suku pertama 2025, dengan jumlah pekerjaan meningkat sebanyak 1.4 peratus kepada 9.06 juta. Daripada jumlah itu, 8.87 juta pekerjaan berjaya diisi, mewakili kadar pengisian hampir tepu sebanyak 97.9 peratus.

“Suku ini juga menyaksikan 194,100 kekosongan, mewakili kadar kekosongan sebanyak 2.1 peratus. Penunjuk ini menunjukkan pasaran buruh yang kukuh dan berdaya tahan. Selain itu, bilangan jawatan diwujudkan mencatatkan peningkatan sebanyak 3.4 peratus tahun ke tahun, mencatatkan 33,200 pada ST1 2025 berbanding 32,100 pada ST1 2024,” kata Uzir dalam satu kenyataan media.

Ketidakpadanan kemahiran: Realiti yang memeritkan

Analisis turut menyatakan bahawa walaupun Malaysia mencatat peningkatan berterusan dalam jumlah graduan yang memasuki pasaran buruh dalam dekad lalu, realitinya masih mencabar disebabkan isu struktur yang lebih mendalam.

Data daripada Kementerian Pengajian Tinggi menunjukkan sekitar 80 peratus graduan berjaya mendapat pekerjaan, manakala 20 peratus meneruskan pengajian.

The Future menyatakan bahawa walaupun kadar kebolehpasaran kelihatan tinggi, ia gagal membezakan antara pekerjaan berkualiti yang sepadan dengan kemahiran dan pekerjaan yang tidak setara (underemployment).

Laporan itu menegaskan bahawa sebahagian besar graduan mengambil pekerjaan yang tidak berkaitan dengan bidang pengajian atau tahap kelayakan mereka.

“Ketidakpadanan berkaitan kemahiran, yang dikira sebagai peratusan graduan dalam pekerjaan separa mahir dan berkemahiran rendah, telah bertambah buruk dari 22.9 peratus pada 2016 kepada 34.2 peratus pada 2022, sebelum sedikit menurun kepada 32.4 peratus pada 2023.

“Trend yang meningkat ini menunjukkan kegagalan sistemik dalam menyelaraskan hasil pendidikan dengan keperluan pasaran buruh. Ketidakpadanan ini bukan sekadar isu sementara berkaitan penempatan kerja, tetapi isu struktur yang berterusan, berpunca daripada reka bentuk program akademik dan kualiti penciptaan pekerjaan dalam ekonomi.”

‘Gaji cukup makan’

Laporan itu menyatakan kesan ketara ketidakpadanan ini dapat dilihat dalam tahap gaji.

Kajian Pengesanan Graduan menunjukkan bahawa 95.2 peratus pemegang diploma dan 65.3 peratus pemegang ijazah memperoleh gaji kurang daripada RM3,000, menandakan ramai graduan tidak menikmati kenaikan gaji seperti yang biasanya dikaitkan dengan pendidikan tinggi.

9ecd0a7fba677e6ace79e6cbd54b089c

“Tahap gaji ini hanya cukup untuk menampung kehidupan asas di kawasan bandar, mengukuhkan lagi tanggapan ‘gaji cukup makan’.

“Ketiadaan hubungan antara kelayakan dan imbuhan bukan sahaja menjejaskan nilai pendidikan tinggi, malah turut melemahkan semangat pelaburan masa depan dalam modal insan, terutamanya dalam kalangan kumpulan berpendapatan rendah.”

Laporan itu turut menyatakan bahawa walaupun ketidakpadanan graduan ialah fenomena global yang turut berlaku di negara berpendapatan tinggi, di negara seperti UK, Jerman atau Belanda, tahap gaji yang lebih tinggi mampu menjadi “penampan” kesan tersebut. Ini membolehkan graduan mengekalkan taraf hidup yang wajar walaupun bekerja dalam bidang yang tidak sepenuhnya sepadan dengan kelayakan mereka.

Namun, di Malaysia, penampan ini tidak wujud.

“Gaji graduan di Malaysia adalah rendah, baik secara mutlak mahupun setelah disesuaikan dengan kuasa beli, yang memburukkan lagi kesan ketidakpadanan dan pekerjaan tidak setara.

“Ini meletakkan Malaysia dalam kedudukan yang amat rapuh. Tanpa menangani isu gaji yang statik dan memperbaiki padanan pekerjaan graduan, negara berisiko menjejaskan matlamat ekonomi jangka panjangnya.

“Pulangan pendidikan yang rendah bukan sahaja akan melemahkan motivasi individu untuk melanjutkan pengajian tinggi, malah akan mengancam objektif negara untuk membina ekonomi berkemahiran dan berasaskan inovasi,” jelas The Future.



Source link