PDRM bekerjasama Interpol dan ASEANAPOL kesan sindiket bot migran karam, dengan 29 maut dan 14 terselamat di perairan Malaysia-Thailand
ALOR SETAR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang bekerjasama dengan Polis Antarabangsa (Interpol) dan Polis ASEAN (ASEANAPOL) untuk mengesan sindiket yang terlibat dalam insiden bot migran karam di perairan sempadan Malaysia-Thailand.
Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah berkata pihaknya percaya sindiket tersebut beroperasi di beberapa negara jiran selain Malaysia.
“Kita akan kongsi maklumat atau butiran yang diperolehi untuk cuba mengesan sindiket yang beroperasi di negara-negara jiran,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Adzli berkata mangsa terselamat mendakwa dikumpulkan di lima lokasi antara Buthidaung dan Teknaf berhampiran sempadan Bangladesh-Myanmar sebelum menaiki kapal sindiket.
Beliau berkata modus operandi sindiket ialah mengumpulkan penumpang untuk dimuatkan dalam kapal pada kapasiti maksimum sebelum berlayar.
“Kapal ini berlabuh di satu terusan antara dua negara tersebut dan hanya akan berlayar selepas cukup penumpang dengan kapasiti maksimum iaitu lebih kurang 300 orang.”
Mangsa turut mendakwa bayaran kepada sindiket hanya dilakukan oleh ahli keluarga selepas tiba di Malaysia.
Polis turut menemukan beberapa catatan termasuk nombor telefon daripada mangsa terselamat yang disyaki berkaitan dengan ejen sindiket.
Soal siasat dan kawad cam terhadap 14 mangsa terselamat mengesahkan mereka sebagai migran dan bukan ahli sindiket.
Mangsa mendakwa terdapat lima individu dipercayai ahli sindiket mengendalikan kapal induk sebelum mereka dipindahkan ke dua bot lebih kecil.
Insiden bot karam di perairan sempadan Malaysia-Thailand dekat Langkawi itu mengorbankan 29 nyawa setakat ini. – Bernama
Post Views: 1






