Bersatu mengesahkan hasrat mereka untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, malah sudah mengenal pasti kerusi yang berpotensi untuk dimenangi, kata setiausaha agungnya, Azmin Ali.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan malam tadi, Azmin berkata, keputusan itu dicapai selepas mesyuarat kepimpinan berlangsung selama empat jam dan ia dipengerusikan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.
“Rundingan dengan parti politik Sabah akan terus membina kekuatan dan persefahaman demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat Sabah,” kata Azmin.
Tambahnya, Bersatu juga sedang berusaha membentuk pakatan dengan beberapa “parti politik berpengalaman dengan pengaruh mereka sendiri.”
“Ini sudah pasti akan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap Bersatu dalam menyediakan kepimpinan yang boleh menjamin masa depan yang cemerlang untuk negara,” kata Azmin tanpa menamakan parti politik itu.
Menurut bekas Menteri Besar Selangor itu lagi, satu jawatankuasa rundingan – yang diwakilinya dan Naib Presiden Bersatu Radzi Jidin – akan menyelia dan memuktamadkan rundingan tersebut.
Untuk rekod sebelum ini BN Sabah sudah membuat keputusan untuk bekerjasama dengan PH bagi menghadapi PRN negeri itu yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Kali terakhir Sabah mengadakan PRN ialah pada 26 Sept 2020. Dewan Undangan Negeri Sabah akan terbubar secara automatik selepas mencapai tempoh matang lima tahun.
Sebelum ini seorang Adun Warisan, Calvin Chong, meggesa pengundi Sabah agar menolak mana-mana parti yang berpangkalan di Semenanjung Malaysia dan memilih parti tempatan untuk mewakili mereka.
Kata Chong, langkah itu membolehkan Sabah mendapat pelbagai kelebihan seperti yang dikecapi Sarawak.