Proses pencalonan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah hari ini turut menyaksikan dua anak kepada Yang Dipertua Negeri Tun Musa Aman tampil sebagai calon.
Datuk Yamani Hafez Musa, 48, yang juga bekas Timbalan Menteri Kewangan II tampil sebagai calon Pakatan Harapan (PH) di Sindumin manakala adiknya, Hazem Mubarak Musa, 43, mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Sungai Manila.
Yamani Hafez ditentang sembilan calon lain manakala Hazem Mubarak yang merupakan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) berdepan pertandingan enam penjuru.
Tun Musa Aman yang juga Ketua Menteri Sabah ke-14 merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Sibuga selama enam penggal bermula 1994.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRN Sabah pada 29 Nov manakala undi awal pada 25 Nov.
Untuk berita terkini PRN Sabah, layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.
– Bernama






