KANGAR: Ahli Lembaga Pengarah Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM), Datuk Wan Ariff Wan Hamzah menerima Anugerah Tokoh Sepanjang Hayat bersempena Istiadat Konvokesyen Kali Ke-8 Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) di Dewan 2020 di sini hari ini.
Anugerah kepada pengasas dan Pengerusi Ain Medicare Sdn. Bhd iaitu sebuah syarikat farmaseutikal yang menghasilkan produk penjagaan kesihatan itu disampaikan oleh Raja Muda Perlis merangkap Canselor UniSIRAJ, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Sumbangan beliau melangkaui dunia korporat, termasuk penajaan biasiswa Ain Medicare kepada pelajar program asasi di UniSIRAJ, pembangunan rumah anak yatim Putera Harapan, program dakwah dan pembangunan masyarakat Orang Asli, bantuan pendidikan serta inisiatif kemanusiaan melalui Yayasan Al-Khalifah hingga ke Thailand dan Filipina.
Ain Medicare juga telah menyediakan lebih 1,300 peluang pekerjaan dan menembusi pasaran antarabangsa serta menjadi lambang kebitaraan usahawan bumiputera di peringkat global.
Anugerah berkenaan diberikan sebagai menghargai bakti dan kepimpinan beliau yang menjadi inspirasi kepada generasi akan datang.
Wan Ariff berkata, anugerah berkenaan bukan sekadar satu pengiktirafan tetapi amanah dan tanggungjawab untuk terus berbakti dalam bidang ilmu, keusahawanan dan kebajikan.
Katanya, ia sebagai sumbangan kecil kepada agama, masyarakat dan negara.
“Selain itu, saya juga amat berbesar hati apabila melalui Ain Medicare, kami turut dapat menaja biasiswa kepada pelajar-pelajar program asasi di UniSIRAJ iaitu sebagai tanda sokongan kepada universiti dalam melahirkan generasi ilmuwan dan usahawan berjiwa sunnah.
“Bagi saya, setiap kejayaan yang Allah SWT kurniakan akan menjadi lebih bermakna apabila ia dikembalikan kepada perjuangan ilmu.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada UniSIRAJ atas pengiktirafan yang besar ini.
“Semoga universiti ini terus melahirkan lebih ramai ilmuwan, usahawan dan pemimpin berjiwa sunnah, yang bukan sahaja membangunkan negeri Perlis tetapi turut memartabatkan umat Islam di seluruh dunia,” katanya.
Dalam pada itu, seorang pendidik muda, Ahmad Yusairi Yusli menjadi graduan sulung Doktor Falsafah sempena konvokesyen itu.-UTUSAN






